Toyota Hilux GR Sport 2023 – Gaya dan kuasa dipertingkatkan - Utusan Malaysia

Toyota Hilux GR Sport 2023 – Gaya dan kuasa dipertingkatkan

TOYOTA HILUX
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI peminat Toyota, mengaitkan diri dengan penjenamaan TRD menjadi kegilaan satu masa dahulu. Seperti juga kaitan Mitsubishi dengan Ralliart, Subaru dengan STI, BMW dengan siri M yang mana melambangkan jenama tersebut dengan divisi perlumbaan jenama tersebut. Namun pada 2015, Toyota memutuskan untuk menyatukan semua aktiviti sukan motor mereka di bawah satu penjenamaan baharu iaitu Toyota Gazoo Racing atau singkatan/logonya; GR.

Kenderaan-kenderaan Toyota versi GR Sports telah mula menghasilkan kereta-kereta untuk kegunaan awam tetapi telah ‘ditambah baik’ oleh GR sendiri sama ada pada peningkatan prestasi enjin, sistem bantuan elektronik pengurusan dan keselamatan enjin, sistem suspensi sehinggalah kepada reka bentuk dalaman ‘kabin’ kenderaan Toyota versi GR Sports.

Kebanyakan model yang telah dipertingkatkan ke versi GR Sports ini adalah seperti Yaris, Vios, Supra, AE86, CROSS, Altis dan untuk kupasan panduji kali ini, Toyota Hilux GR Sport.

REKA BENTUK
Sekali pandang dan jika anda bukan peminat tegar Toyota, anda mungkin mengatakan ia serupa dengan mana-mana Toyota Hilux yang telah berada di atas jalan raya tempatan. Namun, dari skim warna putih (warna rasmi versi GRS), serta lambang GR yang terdapat pada bahagian bumper hadapan dan belakang Hilux ini, menjanjikan kelainan tersendiri.

Rekaan rodanya juga tampak mempunyai corak yang tidak sama dengan Hilux konvensional, di samping saiz roda 18 inci lengkap dengan kaliper brek berwarna merah, menampakkan gah pada susuk fizikalnya. Tidak sempurna sesuatu versi GR Sport sekiranya tidak disertakan kaliper brek berwarna merah, sekali gus mengesahkan imej sportynya.

Namun reka grafik yang telah dipasang pada sekeliling Hilux ini saya rasakan tidak perlu kerana seolah-olah sebuah ‘perhiasan yang terlebih’ dan mengurangkan sifat eksklusifnya. Sekiranya ia dibiarkan terus warna putih tanpa sebarang pelekat grafik atau mungkin dengan hanya menggunakan rekaan grafik garisan lurus yang melintasi bahagian sisi Hilux ini, sudah memadai.

Melangkah masuk ke dalam ruang kabin Hilux, anda sudah tentu menjangkakan kerusi jenis perlumbaan bersalut kulit dan mempunyai logo GR akan tersergam di dalamnya. Walaupun merasakan sedikit pelik apabila sebuah trak menggunakan kerusi sport seperti kebanyakan kereta sedan/sport, namun, kelainan ini adalah satu yang mengujakan.

Tekan suis untuk menghidupkan enjin, anda disambut pada meter TFT logo GR Sports, selain mendengar suara Start Recording, iaitu suara daripada sistem kamera dash yang akan secara automatik merekodkan visual perjalanan anda. Jika anda perhatikan di bahagian lantai kabin, karpet-karpet berlogokan GR sekali lagi dapat dilihat sebagai tanda penjenamaan, sehinggakan pedal pemijak brek dan pendikit, menggunakan jenis aluminium yang juga turut melengkapkan imej GR.

Satu faktor yang agak mengejutkan saya ialah, Hilux dilengkapi dengan paddle shifter di sterengnya. Seperti kebanyakan kereta sports sedan, paddle shifter ini adalah satu fungsi penukaran gear yang terdapat dalam kereta-kereta lumba dan diadaptasikan kepada kereta-kereta jalanan versi sports. Namun ini kali pertama saya melihat sistem ini digunakan pada sebuah trak!

PEMANDUAN
Rekaan fizikal sudah meyakinkan anda bahawa ini bukanlah Hilux biasa, bagaimana pula perbezaan yang dapat dirasakan pada prestasi enjin dan pemanduan? Sebenarnya versi Hilux GR Sport adalah versi yang telah dinaik taraf oleh UMW Toyota (UMWT) dan kini dikuasakan oleh enjin 2.8 liter empat silinder selari turbo diesel yang menghasilkan 221 kuasa kuda pada kadar 3,000 rpm dan tork sebanyak 550 Nm pada kadar 2,800rpm.

Apakah maksud figura-figura tersebut? Secara kasarnya, trak ini mampu memecut ibarat sebuah kereta sedan sport, memotong kenderaan dengan tujahan yang menakjubkan walaupun trak ini kelihatan besar dan berat. Walaupun saya tidak berminat untuk melihat selaju mana Hilux ini mampu mencapai kelajuan di lebuh raya kerana bagi saya, ini bukanlah kenderaannya untuk berprestasi sebegitu. Namun, saya yakin, kelajuan 180 km/j bukanlah sesuatu perkara yang sukar untuknya.

Sistem suspensinya juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih efisien dan cengkaman yang lebih hebat, terutama waktu pengambilan selekoh. Hilux GR S menggunakan “GR Sport Monotube” yang pada dasarnya memberikan keupayaan pengendalian yang lebih jitu serta kebolehan untuk pengawalan trak ini daripada membuai atau tidak stabil dalam pemanduan pada kelajuan tinggi.

Toyota Hilux GR Sport sudah tentunya dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan dan pengendalian elektronik sama ada sistem amaran keselamatan pemanduan di jalan raya ataupun sistem pemanduan di permukaan jalan berbatuan (off road) atau berbukit-bukau. Sistem-sistem seperti Bantuan Pengendalian Penurunan cerun (Downhill Assist Control), Bantuan Naik Cerun (Hill Assist Control) yang membantu Hilux ini tidak terundur dengan sendirinya ketika menaiki cerun, serta lain-lain sistem bantuan elektronik yang sangat canggih dan hebat.

KESIMPULAN
Agak mengujakan apabila Hilux mempunyai sistem-sistem bantuan pemanduan elektronik seolah-olah sebuah kenderaan sedan yang eksklusif. Tambah mengujakan lagi apabila ia turut dihiasi dengan rekaan dalaman yang juga lebih bercirikan sebuah sedan sport.

Ia menggabungkan elemen-ele­men yang diminati ramai dalam sesebuah sedan versi sports terkini tetapi dalam sebuah trak, yang selain anda boleh memandu laju di atas lebuh raya, ia juga bertindak cemerlang atas permukaan off-road.

Bermula dengan harga RM169,080 tanpa caj cukai jalan dan kos pendaftaran, trak Toyota Hilux GR S seperti sebuah kenderaan serba lengkap sebenar. Tambahan aksesori moden seperti lampu LED, sistem infotainmentnya juga yang boleh dipadankan dengan alat peranti anda sama ada dengan Apple Carplay atau Android Auto turut menjadikannya sebaris dengan kenderaan terkini yang sepatutnya ada dalam senarai barangan idaman anda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya