XFusion pilih Malaysia bangunkan pusat bekalan global - Utusan Malaysia

XFusion pilih Malaysia bangunkan pusat bekalan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia global bagi infrastruktur dan perkhidmatan tenaga pengkomputeran, xFusion International Pte Ltd (xFusion) telah memilih Malaysia bagi menempatkan Pusat Bekalan Global pertamanya.

Terletak di kilang NationGate di Seberang Perai, Pulau Pinang, fasiliti Pusat Bekalan Global yang berkeluasan 254,491 kaki persegi itu akan menjadi hab utama bagi pasaran antarabangsa xFusion dengan kapasiti pengeluaran melebihi 150,000 unit peralatan, termasuk pelayan Unit Pemprosesan Grafik (GPU).

NationGate Holdings Berhad (NationGate) telah dilantik sebagai rakan strategik xFusion bagi pengeluaran pelayan GPU untuk pasaran global.

Pelayan GPU merupakan pelayan berkuasa tinggi yang direka untuk kegunaan pusat-pusat data dan dalam kecerdasan buatan, pengkomputeran berprestasi tinggi, pangkalan data dan senario analisis video.

Bersama penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) tempatan, NationGate sebagai rakan strategik, kerjasama tersebut turut menandakan kehadiran berterusan Malaysia dalam pertumbuhan industri itu di peringkat global yang telah berkembang pada purata 30 peratus dalam tempoh lima tahun lepas di China sahaja.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang komited untuk terus memperkukuh kluster industri selain menggalakkan lagi pertumbuhan sektor-sektor yang pesat membangun.

“Atas alasan ini, kami gembira kerana menjadi lokasi pilihan bagi xFusion. Saya yakin kerjasama antara xFusion dan NationGate akan dapat diterjemahkan kepada potensi yang lebih besar, mengukuhkan infrastruktur digital dan kesalinghubungan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif xFusion, Jeffrey Liu menyifatkan pembukaan Pusat Bekalan Global di Pulau Pinang sebagai detik penting dalam strategi pertumbuhan syarikat di luar negara.

Ujarnya, pusat yang dilengkapi dengan kemudahan terkini itu akan turut memperkukuh rangkaian bekalannya di serata dunia bagi memastikan penghantaran produk dan perkhidmatan secara berterusan dan konsisten di pasaran utama.

“Selain menjadi hab pembuatan berteknologi tinggi yang dikenali, Pulau Pinang yang turut digelar sebagai ‘Lembah Silikon Timur,’ juga merupakan lokasi ideal bagi xFusion membuka Pusat Bekalan Global berkenaan berikutan penawaran tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, rantaian bekalan global yang matang selain terletak berhampiran dengan rakan niaga kami, NationGate.

“Sejajar dengan peningkatan kepentingan infrastruktur digital yang merentasi pelbagai sektor, kami amat teruja dengan lembaran baharu kami di Malaysia yang berada dalam kedudukan baik untuk terus menyokong pertumbuhan industri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya