Triumph Tiger Sport 660 - Saingan utama pencinta motosikal kembara - Utusan Malaysia

Triumph Tiger Sport 660 – Saingan utama pencinta motosikal kembara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIUMPH semakin bersungguh untuk menyediakan motosikal pelbagai model untuk pasaran global, dengan strategi terbaharu mereka merangkumi pasaran jentera kapasiti enjin berkuasa pertengahan.

Pembuat motosikal dari United Kingdom, tetapi kini membuka kilang pembuatan di Thailand untuk membolehkan kos penghasilan model-model yang lebih efektif dan efisien. Triumph juga menyedari terdapat perubahan permintaan pasaran yang kini beralih daripada model-model sports serta berkapasiti enjin tinggi, kepada model-model ‘street’, ‘dual purpose’ serta berkapasiti pertengahan seperti 500-600cc.

REKAAN RUPA BENTUK
Triumph Tiger Sports 660 ini pada dasarnya berkongsi rekaan enjin, casis, dan fungsi dengan Triumph Trident 660. Kesedaran pihak Triumph terhadap permintaan motosikal pelbagai guna atau kembara tetapi dengan kapasiti enjin yang lebih kecil, daripada sedia ada ketika itu (kebanyakan enjin motosikal seumpamannya adalah dalam lingkungang 1000-1200cc).

Tanpa perlu merek cipta sebuah model baharu, Triumph berkongsi platform dengan sebuah lagi motosikal kelas pertengahan mereka berkapasiti 660cc, ditukar sedikit penampilan atau kosmetiknya, dengan padanan skrin penghadang angin yang boleh dilaras untuk kemudahan sang pengedar. Pemasangan tangki bahan api yang lebih besar adalah satu ‘kewajipan’ untuk motosikal-motosikal seumpamanya, sekaligus menukar tangki 14 liter sedia ada pada model ‘pinjam’ mereka ke saiz tangki yang lebih besar iaitu 17.2 liter.

Berbanding Trident 660 yang lebih menggayakan sebuah penunggangan jalanan/urban, Tiger Sports 660 dilengkapi dengan ‘cowling’, lengkap dengan skrin penghadang angin yang boleh dilaras secara manual, lampu berkembar untuk sedikit imej ‘sporty’. Begitu pun, rekaan fizikal atau kosmetik Tiger sports ini ternyata agak ‘asas’, mungkin untuk membiarkan pemiliknya memadankan sendiri aksesori mengikut selera dan bajet masing-masing.

PENUNGGANGAN
Setelah menguji kedua-dua model Trident 660 dan Tiger Sports 660 bersilih ganti, secara keseluruhannya, saya boleh katakan prestasi penunggangan hampir sama. Cuma, apabila anda mula memasuki lebuh raya, sifat Tiger Sports yang dikhususkan untuk mereka yang ingin kembara, mula terserlah.

Posisi penunggangan akan secara automatik membuatkan anda duduk menegak, memberikan struktur posisi yang sepatutnya untuk kembara jarak jauh. Handel barnya yang agak tinggi dan berkedudukan mengepak, membolehkan anda mengemudi jentera ini pada kelajuan tinggi ketika di lebuhraya, atau pun ketika mengemudinya dalam kesesakan jalan raya. Akibat kedudukan ini juga, anda dapati badan anda tidak terlalu penat akibat terpaksa melawan terjahan angin dari arah hadapan.

Ujian penunggangan atas jalan Persekutuan atau jalan-jalan biasa pula, sekiranya anda bukan seorang pencinta kelajuan, prestasi suspensi dan casis Tiger Sports ini cukup memuaskan hati anda. Kebolehan ia menyerap hentakan permukaan jalan raya tidak rata cukup baik. Suspensi hadapan jenis showa dibekalkan jenis ‘terbalik’ tetapi tidak terlalu tegar. Sementara suspensi tunggal di belakang, walaupun boleh dilaras untuk kekenyalan spring, ia agak selesa untuk ditunggang bersama pembonceng anda. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna Tiger Sports hanya mampu mencapai kelajuan 110km/j. Kebolehan menunggang pada tahap melahu (perjalanan dengan tidak ada tujuan) dengan pencapaian 140km/j sepanjang perjalanan cukup mengujakan. Tidak terlalu laju, tidak terlalu perlahan, tetapi stabil.

Daripada prestasi enjin pula, Tiger Sports berkongsi enjin dengan Trident 660, iaitu 3 silinder, mode prestasi enjin untuk hari biasa dan hari hujan. Enjin 3 silinder ini telah dilaras untuk memberi prestasi mendatar mengikut tahap gear yang digunakan. Apa yang pasti, daya tujahan enjin boleh dipacu tanpa dengan rasa terperanjat atau sukar dikawal, sama ada anda masih baru mengendalikan motosikal berkapasiti tinggi atau pun sudah berpengalaman.

Apabila menyebut tentang motosikal berkapasiti pertengahan, harga jualan juga menjadi perhatian pasaran. Triumph Tiger Sports 660 bermula dengan harga RM43,900 tanpa caj cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran. Menjanjikan penghantaran kuasa 80hp pada tahap 10,250rpm dan tork ditahap 64Nm padah kadar 6,250 rpm, kuasa enjin yang dipacu oleh 6 kelajuan kotak gear sudah cukup memberikan anda kepuasan membelah lebuh raya.

KESIMPULAN
Triumph Tiger Sport 660 harus menjadi pilihan utama anda ketika memutuskan untuk memilih jentera penunggangan jarak jauh kelas pertengahan. Sekiranya anda ingin membandingkan beberapa jenama yang setaraf dengannya seperti KAWASAKI VERSYS 650, SUZUKI DE 850, ROYAL ENFIELD HIMALAYA, YAMAHA MT-05, TIGER 660 mampu berdiri sama teguh dengan barisan model-model yang dinyatakan ini.

Kebanyakan jenama lain yang memasarkan motosikal pada kapasiti hampir serupa, menggunakan sama ada enjin berkembar selari atau silinder tunggal, namun Tiger menggunakan 3 silinder yang memberikan kelainan pada bunyi ekzos. Nota bunyi yang keluar daripada corong ekzos Triumph jauh lebih ‘merdu’ dan memberikan penunggangnya perasaan menunggang motosikal berkapasiti besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya