TNB percepat TBB menerusi tiga projek utama NETR - Utusan Malaysia

TNB percepat TBB menerusi tiga projek utama NETR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memacu tenaga boleh baharu (TBB) berskala besar dan inisiatif teknologi bersih, dengan menerajui tiga projek utama yang digariskan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din telah mengumumkan fungsi TNB sebagai peneraju projek Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS), serta pembakaran bersama hidrogen dan ammonia, yang kesemuanya penting untuk memajukan agenda hijau negara sambil memupuk pertumbuhan ekonomi.

Katanya, Pelan Peralihan Tenaga TNB sejajar dengan NETR, menekankan tiga bidang utama iaitu mempercepatkan penyahkarbonan, membangunkan grid rentas sempadan yang fleksibel dan memperkasakan elektrifikasi dan prosumer rentas sektor.

“Pelan TNB untuk menjana 3,000 megawatts (MW) TBB menjelang 2040 dalam lingkungan projek utama NETR. Ini termasuk memanfaatkan 2,500MW atau 2.5 gigawatt (GW) melalui teknologi inovatif HHFS di samping 500MW tambahan daripada lima LSSP berbeza, masing-masing mempunyai kapasiti 100MW.

“Projek Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) pula akan dilaksanakan dalam empat fasa mulai 2023 hingga 2040 dan ditempatkan secara strategik di empangan hidro TNB.

“TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan mengetuai pemasangan berkapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh sebagai sebahagian daripada pelan projek 2.5GW. Projek ini dijangka siap menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Baharin turut mendedahkan Bahagian Tenaga Baharu (NED) TNB sedang menyokong Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), yang ditetapkan untuk menjana 90MW apabila mula beroperasi pada 2025.

Ujarnya, program itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan melalui LSSP, melengkapi projek sedia ada di Sepang, Selangor (50MW), dan Bukit Selambau (30MW) serta Bukit Selambau 2 (50MW), Kedah yang dijangkakan beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.

TNB berganding dengan Petronas untuk projek pembakaran bersama hidrogen dan ammonia serta bekerjasama dengan Mitsui & Chugoku bagi inisiatif ammonia dan biojisim, bertujuan mempelbagaikan sumber portfolio tenaganya.

“Projek pembakaran bersama berskala kecil sedang dijalankan di loji arang batu terpilih di Port Dickson, Negeri Sembilan (Jimah East Power), dan Lumut, Perak (Manjung 1 dan Manjung 4). Fasa Reka Bentuk Kejuruteraan Front End (FEED) ini berfungsi sebagai prasyarat penting untuk pelaksanaan pembakaran bersama, dan kami menyasarkan aset arang batu tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya