Tiga projek bakal terajui NIMP 2023 - Utusan Malaysia

Tiga projek bakal terajui NIMP 2023

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kini memiliki tiga projek yang bakal meneraju salah satu tonggak Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023, dalam misi mencapai pelepasan sifar bersih buat masa ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, projek pertama melibatkan penciptaan model laluan nyah karbon oleh BASF dan Petronas Chemicals Group Bhd. (PetChem).

“Projek kedua pula melibatkan penghasilan kenderaan elektrik tempatan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan diikuti projek ketiga di mana Petronas akan berusaha menghasilkan penyelesaian berskala besar untuk penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Ingin saya tegaskan bahawa penggunaan perkataan “pada masa ini” adalah kerana projek ini bertujuan untuk memulakan realisasi misi itu,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak The Cooler Earth Sustainability Summit CIMB (The Cooler Earth 2023), di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sentiasa terbuka kepada idea projek lain yang boleh membantu kerajaan mencapai hasil sasaran NIMP 2023.

Ujarnya, dari segi keterangkuman Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang lebih besar, MITI mempunyai satu lagi tonggak dalam melindungi keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

“Terdapat juga empat strategi utama di sini, tetapi yang paling relevan dengan tema sidang kemuncak ini ialah membangunkan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan memupuk pembangunan kental iklim.

“Bagi strategi pertama, kami sedang mencari kaedah membangunkan laluan penyesuaian sektoral untuk membimbing peralihan manakala strategi kedua pula memupuk industri mengadaptasi penyesuaian iklim bagi menyediakan produk serta perkhidmatan (termasuk eksport),” ujarnya.

Tambah beliau, bagi strategi ketiga pula merangkumi penerapan langkah-langkah ketahanan iklim untuk infrastruktur ekonomi kritikal.

“Namun, untuk misi keempat kita belum mengenal pasti lagi sebarang projek dan saya amat mengalu-alukan idea daripada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat multinasional yang menyertai sidang kemuncak ini,” katanya.

Pada 1 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan NIMP 2033 yang merumuskan empat misi untuk memacu transformasi industri negara pada skala besar menjelang tahun 2030.

Antara misi tersebut ialah memajukan ekonomi dengan industri akan digalakkan berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih, sekali gus meningkatkan daya saing negara di pasaran global.

NIMP 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatan mencecah RM587.5 bilion menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya