TH perkenal perlindungan takaful, TH Khairat - Utusan Malaysia

TH perkenal perlindungan takaful, TH Khairat

Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im (tengah) bersama Syed Hamadah Syed Othman (dua dari kiri) bergambar selepas Majlis Pelancaran TH Khairat di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan TH Khairat iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit TH dengan langganan tahunan serendah RM28 sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im berkata, inisiatif ini adalah salah satu komitmen dan langkah proaktif TH untuk meringankan beban kewangan pendeposit TH selain menggalakkan umat Islam membuat persediaan awal dari segi kewangan agar dapat memudahkan urusan waris.

“Saya berharap usaha seperti ini akan mendapat sambutan dan sokongan ramai kerana menerusi TH Khairat ini, kebajikan dan kesejahteraan para pendeposit akan terus terpelihara kerana bantuan kewangan di masa sukar akan diberi apabila berlaku kematian kepada pendeposit,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH Khairat ini bukan sahaja memberi peluang kepada pendeposit TH untuk mempunyai perlindungan, malah pendeposit juga dapat memberi sumbangan infaq.

“Pendeposit TH juga dapat memberi sumbangan infaq berjumlah RM2,000 (sebahagian daripada jumlah perlindungan TH Khairat) kepada pertubuhan atau organisasi kebajikan yang dilantik oleh pengendali Takaful,” jelasnya.

TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH yang berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun dan yang ditaja jamin oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT).

Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan dan pendaftaran boleh dilakukan dengan mudah sahaja melalui portal atau aplikasi THiJARI.

Pendeposit juga boleh mendaftarkan TH Khairat untuk akaun anak di bawah jagaan yang berumur di bawah 18 tahun di THiJARI.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, perlindungan takaful TH Khairat yang ditawarkan melambangkan komitmennya sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang menyediakan pendeposit TH akses kepada produk takaful mampu milik bagi memenuhi keperluan perlindungan mereka yang semakin meningkat.

“Ia sekali gus mencerminkan dedikasi kami dalam memberi perlindungan kepada pendeposit TH.

“Usaha ini selaras dengan pelan perniagaan strategik kami untuk mengukuhkan kedudukan Takaful Malaysia sebagai pengendali takaful pilihan utama di Malaysia,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya