Sektor pembuatan dijangka terus lembab separuh kedua 2023 - Utusan Malaysia

Sektor pembuatan dijangka terus lembab separuh kedua 2023

getah
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelembapan sektor pembuatan tempatan dijangka berterusan bagi separuh kedua 2023 dalam keadaan permintaan global yang lemah, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan berkata, ia ekoran indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia terus menandakan penguncupan dalam aktiviti pembuatan selama 12 bulan berturut-turut.

Katanya PMI pembuatan kekal tidak berubah pada 47.8 peratus Ogos lalu menandakan keadaan perniagaan kekal mencabar bagi syarikat pembuatan dalam negara.

“Pengeluaran kekal lemah apabila aliran masuk pesanan baharu berkurangan, dengan pesanan eksport baharu menurun untuk empat bulan terakhir berturut-turut.

“Akibatnya, syarikat pembuatan mengurangkan tenaga kerja bagi tempoh empat bulan berturut-turut dan menandakan kejatuhan paling teruk dari segi kadar pengurangan pekerja sejak Disember 2022,” katanya.

Menurut MIDF Research, tempoh penghantaran pembekal juga turut dipanjangkan kepada sembilan bulan ekoran syarikat berhadapan dengan cabaran kekurangan bahan mentah.

Ujarnya lagi, dari segi harga, inflasi kos input meningkat kepada kadar tertinggi sejak November 2022 disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan kelemahan dalam ringgit selain inflasi kos keluaran juga menandakan peningkatan terpantas sejak Februari 2023.

“Walaupun berlaku aliran penguncupan dalam PMI keseluruhan, sentimen perniagaan menunjukkan pandangan optimis, namun masih di bawah purata jangka panjang.

“Di kalangan negara lain, aktiviti pembuatan terus menurun kerana situasi dalam sektor itu kekal mencabar,” katanya.

Tambah MIDF Research lagi, ia dapat dilihat melalui bacaan PMI dibawah paras 50 bagi beberapa buah negara pada Ogos 2023 seperti Jepun (49.6), Filipina (49.7), Korea Selatan (48.9), Taiwan (44.3), Thailand (48.9), kawasan euro (43.5) dan Amerika Syarikat (47.9).

“Dengan pengecualian, PMI pembuatan Caixin China meningkat kepada 51 pada Ogos 2023 berbanding 49.2 pada Julai tahun sama kerana aktiviti menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding bulan sebelumnya.

“Beberapa negara turut melaporkan pertumbuhan dalam aktiviti pembuatan mereka seperti Myanmar (53), Indonesia (53.9) dan India (58.6).

“Jadi, kami berpendapat kelemahan dalam sektor pembuatan bagi Malaysia adalah sejajar dengan aliran pembuatan global dan oleh itu bacaan PMI masih lemah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya