Royal Enfield Super Meteor 650 - Kruiser yang kini boleh anda miliki - Utusan Malaysia

Royal Enfield Super Meteor 650 – Kruiser yang kini boleh anda miliki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT segmen dalam pasaran motosikal global yang menyukai penunggangan santai. Golongan ini lebih menyukai motosikal yang lebih kepada berbentuk penunggangan berkonsepkan klasik, tunggangan yang lebih ke arah jarak jauh, menyelusuri jalan raya dan lebih mementingkan ‘khasiat’ perjalanan daripada destinasi.

Inilah segmen bagi motosikal kruiser, dan selalunya sebuah jenama dari Amerika Syarikat akan mendahului senarai sebutan peminat-peminatnya. Begitupun, jenama-jenama dari Jepun tidak putus-putus membuat replika terhadap model-model ‘cruiser’ Amerika ini, malah, terdapat percubaan dari pembuat motosikal-motosikal China dan kini, India, turut mencuba nasib.

Royal Enfield bukan nama asing bagi pencinta motosikal tempatan, akan tetapi jenama ini begitu sinonim dengan motosikal rekaan klasik atau retro yang boleh dikatakan tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Royal Enfield kali ini bijak menggabungkan teknologi dan rekaan yang mereka sudah ada, dengan membuat sedikit pengubahsuaian terhadap model SUPER METEOR 650.

Super Meteor 650 boleh dilihat sebagai ‘abang’ kepada model Meteor 350 yang telah dilancarkan beberapa bulan lalu. Jika Meteor 350 mempunyai iras Triumph Street Twin, Super Meteor 660 ini pula saya melihatnya mempunyai persamaan dengan Harley-Davidson Fat Boy. Maka, adakah pelanduk dua serupa ini sekadar rupa atau sebaliknya? Ikuti hasil uji pandu saya ini.

REKAAN FIZIKAL (KOSMETIK)
Seperti saya katakan di atas, fizikalnya menyerupai sebuah H-D model Fatboy. Rekaan ini juga turut ditiru oleh Kawasakitidak lama dahulu melalui model Vulcan 1200 Classic dan Yamaha Royal Star. Pelana duduk yang rendah, tangki berbentuk ‘air mata’ yang besar, pemijak kaki dan tuil gear serta brek dianjak ke hadapan serta bar handel yang lebar dan mengepak. Inilah ciri-ciri sebuah model FATBOY yang pernah popular digunakan oleh watak Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger.

Jika diukur daripada saiznya, mungkin ia sedikit kecil berbanding model aslinya atau klon Kawasaki, mahupun Yamaha. Malah, jika dilihat dari fotonya juga, ia tidak memberi justifikasi terhadap saiz sebenar pada model Royal Enfield ini. Ia tidak menggunakan tayar hadapan yang lebar, serta tidak menggunakan rim yang diseliputi sepenuhnya seperti Fatboy. Begitupun, bagi seseorang yang mempunyai ketinggian kurang daripada 5 kaki 5 inci, kaki anda akan kelihatan tergantung dan tampak saiz Super Meteor ini sememangnya agak besar.

Bar pemegangnya lebar dan ini turut memberikan satu imej garang bagi penunggangnya. Dua jalur ekzos pada kiri dan kanan menambahkan estetika ‘macho’ walaupun nota bunyi yang keluar masih merdu dan agak lembut kerana mengikuti tahap had bunyi yang ditetapkan oleh penguasa undang-undang.

Hanya dengan rupa fizikal Super Meteor ini, anda seolah-olah diminta untuk mengenakan jaket kulit untuk menunggangnya bagi membolehkan anda ‘sepadan’ dengan imejnya.

TUNGGANGAN
Terus terang saya katakan, ia agak berat secara keseluruhannya untuk ditolak sana sini, tetapi tidak terlalu membebankan seperti model asalnya ataupun model klon dari Jepun. Malah ketika menunggangannya dalam keadaan jalan sesak, saya masih lagi boleh mengemudinya untuk ‘mencilok’ antara kenderaan walau tidak selincah motor-motor ‘kapcai’.

Begitupun, ketika menyelusuri lebuh raya, berat Super Meteor ini turut menstabilkannya dalam penunggangan yang agak laju sekitar 140km/j. Walaupun begitu, sekiranya anda membandingkan penunggangan dalam keadaan serupa dengan model Super Meteor 660 versi ‘Tourer’, versi yang lengkap dengan penghadang angin dan penyandar belakang untuk pembonceng, ternyata ia tidak memberikan saya kestabilan seperti versi ‘naked’ tadi. Super Meteor Tourer bergoyang handelnya pada kadar yang agak kuat sekitar kelajuan 150km/j, berbanding versi tanpa skrin pelindung angin yang tetap stabil pada kelajuan ini.

Dari segi kekuatan tujahan dan pecutan enjinnya, penggunaan enjin 2 silinder selari dibantu oleh dwi penyejukan iaitu penyejukan udara melalui sirip-sirip yang terdapat pada kepala kebuk enjin dan sejukan minyak yang juga mempunyai ‘radiator’ yang terletak di hadapan enjin 648cc.

Kotak gear enam kelajuan juga bukan sahaja agak lancar dan senyap, tetapi turut menyampaikan kuasa-kuasa tujahan yang diperlukan walaupun pada gear teratas iaitu gear 6. Saya beberapa kali tidak langsung menukar gear untuk memotong kenderaan ketika dalam lebuh raya.

KESIMPULAN
Semakin banyak variasi-variasi dalam jenama motosikal yang muncul untuk pasaran Asia Tenggara ini. Pengeluar-pengeluar motosikal sama ada yang baharu dari China atau pun yang telah lama bertapak dalam pasaran motosikal global mula berlumba-lumba untuk menghasilkan motosikal berkapasiti rendah dan sederhana untuk pasaran ini.

Royal Enfield telah lama menghasilkan motosikal-motosikal berkapasiti enjin seperti ini (walau kebanyakannya berkonsep retro), namun sudah mula memasukkan elemen-elemen yang diminati oleh peminat motosikal dari Asia Tenggara seperti model-model Adventure (Lasak), Street dan juga Cruiser.

Seperkara yang saya gemari tentang jenama ini, walaupun mula memasukkan elemen-elemen teknikal yang moden, seperti sistem brek ABS, sistem pancutan bahan api, sistem suspensi USD, malah sejak tahun lepas, Royal Enfield mula menggunakan peralatan penunjuk arah yang berpadanan dengan sistem pemetaan alat peranti anda, secara umumnya, Royal Enfield mengekalkan konsep enjin menggunakan sistem kejuruteraan klasik yang tidak memerlukan sangat teknologi canggih, seperti mode enjin elektronik, sistem suspensi boleh kawal elektronik.

Sistem bantuan elektronik terkini sudah tentu meningkatkan kos asas motosikal itu sendiri, malah, menjanjikan kos penyelenggaraannya juga tinggi. Royal Enfield masih mengekalkan konsep ‘asas’ pada enjin mereka supaya ia mudah diselenggara sama ada di bengkel-bengkel biasa atau pun sekiranya anda mahu, oleh anda sendiri.

Sebagai penutup, setelah semua kelebihan ini, Royal Enfield berada dalam lingkungan harga pasaran RM37,900 untuk sebuah kruiser 660cc. Berbaloi? Lihat sendiri di bilik pameran Royal Enfield Malaysia di Gasket Alley, Petaling Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya