Perak destinasi pelaburan berpotensi - Utusan Malaysia

Perak destinasi pelaburan berpotensi

kilang Proton di Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur tempatan dan asing meletakkan Perak sebagai destinasi pelaburan berpotensi berdasarkan projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksana di negeri tersebut.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Wan Mohd Farid Wan Zakaria, berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perak merekodkan pelaburan RM7.1 bilion pada suku pertama 2023 dan mengalami peningkatan 550 peratus pada 2022.

Katanya, pelaburan yang dicatatkan merupakan rekod memberangsangkan untuk Perak selepas dua kuasa industri Selangor dan Pulau Pinang.

“Setelah sekian lama Perak tenggelam dengan kuasa industri Selangor dan Pulau Pinang, kini Perak muncul antara empat negeri yang mencatat pelaburan tinggi di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, peningkatan pelaburan adalah disebabkan keberkesanan perancangan dan dasar ekonomi kerajaan negeri yang efisien dalam menyusun serta menyediakan prasarana yang dimahukan oleh pelabur.

“Ia meliputi jalinan lebuh raya baharu iaitu Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan menaik taraf sistem pelabuhan menerusi projek Bandar Perindustrian Ma­ritim Lumut (LuMIC) adalah kunci utama kepada lembaga pengarah syarikat untuk memutuskan pelaburan di Perak,” katanya.

Pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi di negeri itu akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Perak dalam 10 hingga 20 tahun akan datang.

Bukan itu sahaja, strategi kerajaan negeri dengan membangunkan kawasan utara di Bagai Serai dan Parit Buntar sebagai kawasan industri baharu dan Persimpa­ngan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) turut dianggap bestari.

MULTINASIONAL

“Ini kerana Perak menyediakan pilihan kepada syarikat multinasional di Pulau Pinang tetapi tidak cukup tanah, kini boleh beroperasi di Pe­rak,’’ katanya.

Perkembangan itu turut di­sokong dengan siapnya Le­buh­raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan kawasan Taiping Selatan yang dilihat sebagai pelengkap kepada pengukuhan aspek jaringan logistik bagi jajaran ekonomi di Pantai Barat Semenanjung.

Menurut Mohd Farid, usaha kerajaan negeri untuk pembinaan lebuh raya baharu terma­suk Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang meng­hubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar dilihat mampu memperkukuhkan reputasi Perak sebagai hub pelaburan masa hadapan.

Dari segi teknologi tinggi, Tanjung Malim yang selama ini dikenali Proton City, bakal menerima pelaburan besar RM40 bilion da­ripada rakan kongsi Proton iaitu Geely bagi tempoh 10 tahun.

“Ia sejajar perancangan kerajaan negeri bagi membangunkan Proton City di Tanjung Malim sebagai Lembah Automatif Berteknologi Tinggi (AHTV),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan usahasama Per­badanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan pengendali pelabuhan, Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) untuk membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung dengan nilai pelaburan mencecah RM72 billion dalam tempoh 25 tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya