PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberi keyakinan dan menggalakkan perkembangan sektor hartanah negara, menurut pemain industri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya menyambut baik keputusan BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.
“Keputusan ini pastinya akan menggalakkan perkembangan sektor hartanah dan kempen pemilikan rumah dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
“LBS selaku pemaju perumahan rakyat akan sentiasa komited memenuhi aspirasi kerajaan untuk menyediakan kediaman berdasarkan tiga teras utama iaitu, mampu dimiliki, komuniti dan kesalinghubungan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan Paramount Corporation Bhd., Jeffrey Chew Sun Teong berpendapat, komuniti perniagaan dan pembeli rumah harus mula melabur dalam ekonomi dan tidak menunggu penurunan OPR.
Katanya, hakikat BNM menghentikan seketika kenaikan OPR adalah isyarat bahawa ia akan turun dalam masa terdekat kerana inflasi masih terkawal.
“Sepanjang lapan bulan lalu, kami menyaksikan permintaan untuk pembelian hartanah semakin berkurangan selepas peningkatan pembelian daripada permintaan yang terpendam yang timbul daripada dua tahun pandemik dan kekurangan bekalan tawaran hartanah baharu.
“Oleh itu, kedua-dua komuniti perniagaan dan pengguna ingin melihat penurunan OPR menjelang akhir tahun ini kerana 2022 yang mencabar dengan kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman perniagaan dan pembayaran gadai janji untuk individu.
“Namun, kami memahami masih terlalu awal untuk menurunkan OPR tahun ini kerana kadar faedah Amerika Syarikat (AS) mungkin menyaksikan satu lagi kenaikan dan ia akan memberi tekanan yang tidak perlu kepada ringgit,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, keputusan mengekalkan OPR bermakna perumahan akan kekal mampu milik berbanding dengan alternatif.
Katanya, pembeli dan pemilik rumah tidak akan melihat pembayaran pinjaman hartanah mereka naik dan pemilik tidak akan merasakan tekanan kewangan untuk menaikkan sewa kepada penyewa mereka.
“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan bank pusat akan sekali lagi membiarkan kadar tidak berubah pada mesyuaratnya yang akan datang pada November.
“Keputusan disebabkan beberapa berita baik ekonomi baru-baru ini termasuk inflasi yang nampaknya terkawal, dengan inflasi utama jatuh selama 11 bulan terakhir kepada dua peratus tahun ke tahun pada bulan Julai. Paras terendah sejak Ogos 2021,” katanya.
Beliau berkata, untuk pinjaman biasa, setiap kali kadar faedah gadai janji meningkat sebanyak 25 mata asas, bayaran bulanan anda meningkat kira-kira RM77.
“Bagi contoh ini, kami telah menggunakan pinjaman hipotesis sebanyak RM500,000 dengan tempoh 30 tahun pada kadar lima peratus. Bayaran bulanan meningkat daripada RM2,684 kepada RM2,761,” ujarnya. – UTUSAN