PETALING JAYA: Majikan disaran mempertimbangkan semula tahap gaji berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat selain menjadikannya sebagai sebahagian daripada strategi menarik tenaga kerja berkualiti, kata JobStreet Malaysia.
Pengarah Urusannya, Vic Sithasanan berkata, jika paras gaji median kekal sementara kos sara hidup terus meningkat, ini secara semula jadi akan mendorong pencari kerja untuk memberi lebih tumpuan kepada gaji.
“Penyelidikan kami mendapati 27 peratus daripada warga Malaysia menganggap pampasan kewangan sebagai faktor penentu apabila menerima tawaran pekerjaan, melebihi purata global iaitu 21 peratus.
“Namun, syarikat yang mungkin merasakan tekanan untuk bersaing dari segi tahap gaji juga harus mengingati faktor lain yang boleh memberi kesan kepada perekrutan dan menyerlahkan kelebihan mereka.
“Ketelusan dan keterbukaan semakin dihargai dan keseimbangan kerja dan kehidupan adalah satu keutamaan bagi majoriti rakyat. Syarikat perlu memastikan mereka boleh mewujudkan kepercayaan dan budaya korporat yang memenuhi jangkaan pencari kerja moden,” katanya.
Panduan Gaji 2023 JobStreet mendapati sebanyak 97.3 peratus daripada penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang serupa dengan tahun lepas.
Industri komputer dan teknologi maklumat (IT) menyaksikan kenaikan gaji tertinggi, meningkat 28 peratus daripada RM3,750 kepada RM4,800.
Pakar komputer dan IT juga mempunyai gaji median tertinggi antara semua pengkhususan iaitu RM6,000.
Menurut Sithasanan, peningkatan permintaan untuk IT adalah disebabkan tumpuan kerajaan terhadap inisiatif transformasi digital, tetapi trend ini mungkin tidak mampan dalam jangka panjang.
“Ia juga jelas daripada pemberhentian pekerja yang memberi kesan kepada syarikat teknologi utama di seluruh dunia pada awal tahun ini bahawa pertumbuhan ini mungkin tidak mampan dalam jangka masa panjang.
“Sebaik-baiknya, pembaharuan pendidikan di seluruh Malaysia harus dilaksanakan untuk meletakkan asas yang kukuh untuk melahirkan lebih ramai pakar IT berkemahiran dalam jangka panjang,” tambahnya. – UTUSAN