SHAH ALAM: Pendapatan syarikat pengurusan sisa pepejal Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM) meningkat kepada RM530 juta setahun pada tahun lalu mampu mengimbangi jumlah keseluruhan hutang, RM309 juta yang ditanggungnya.
Malah, syarikat itu juga berjaya mengurangkan jumlah hutang dengan kerajaan negeri sebanyak RM49 juta kepada RM29 juta dan RM10 juta yang dijadualkan dijelaskan pada Oktober ini.
Kemampuan kewangan KDEBWM terus di sokong dengan pembaharuan kontrak bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk tempoh tujuh tahun lagi bagi skop perkhidmatan kutipan sisa domestik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) itu berjaya meningkatkan hasil pendapatan dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
“Itu daripada tahun 2016, pada tahun tersebut mungkin kurang, ketika itu sekitar RM12 juta pendapatan, sekarang kutipan hasil KDEBWM sampai tahun ini RM530 juta setahun jadi maknanya aktiviti mereka bertambah.
“Ia sebenarnya in conjunction dengan aktiviti kutipan dekat semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Hutang akan dibayar secara berperingkat (hutang dengan kerajaan negeri), sekarang berbaki RM29, juga tetapi mereka membayar juga hutang tersebut kepada kerajaan negeri mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Lori Kompaktor Baharu dan Imej Korporat KDEBWM, semalam.
Terdahulu, Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd. Tahir memaklumkan sebanyak 75 unit lori kompaktor baharu dengan kapasiti Berat Dalam Muatan (BDM) sehingga 18 tan mula digunakan di semua 75 zon di Klang pada 1 Oktober.
Penggunaan jentera baharu itu selaras dengan pembaharuan kontrak bersama (MPK) yang turut mengenengahkan warna merah dan kuning, selari dengan tema Selangor, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan slogan #KitaSelangor.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan selain pembaharuan kontrak dan pelancaran lori kompaktor baharu, KDEBWM juga mengukuhkan penjenamaannya dengan imej korporat baharu.
“Jadi, pada hari ini kita lancarkan kompaktor baharu dan imej korporat baharu dalam KDEB Waste, sudah pasti dalam branding ini bukan biasa tetapi meliputi dan mewujudkan minat dan tekad syarikat itu dan kerajaan negeri untuk melaksanakan pengurusan sisa pepejal dengan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN