Bermodalkan RM29.90, MummyRQ pelopori makanan halal bayi - Utusan Malaysia

Bermodalkan RM29.90, MummyRQ pelopori makanan halal bayi

NAJIB Ramjan (kanan) dan Jazneeda Jamil menunjukkan produk keluaran MummyRQ Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Halal Kedah, Sungai Petani Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA menyangka bermula dengan modal cuma RM29.90, sepasang suami isteri kini berjaya mengorak langkah sebagai perintis makanan halal bayi di negara ini sejak 2015.

Najib Ramjan, 47, dan Jazneeda Jamil, 36, yang membangunkan syarikat MummyRQ Sdn. Bhd. (MummyRQ) mengeluarkan 42 jenis makanan bayi dan kanak-kanak daripada jenama Groomy dan PipiPau sekali gus memberi saingan kepada jenama import yang sudah lama berada di pasaran.

Lebih membanggakan, MummyRQ yang beroperasi di Taman Halal Kedah, Sungai Petani setakat ini mempunyai perolehan sehingga RM1.2 juta setahun dengan prospek lebih baik setelah berjaya menerokai pasaran luar negara tidak lama lagi.

Menurut Jazneeda selaku Ketua Pegawai Eksekutif MummyRQ, mereka menerokai industri makanan itu bermula di rumah termasuk melakukan proses kajian dan pembangunan (R&D) produk sendiri.

“Semua bermula ketika kami memiliki anak pertama pada 2011. Menyedari makanan bayi halal yang berada di pasaran agak terhad kami cuba hasilkan produk sendiri. Modal cuma RM29.90 itulah untuk beli bahan-bahan. Pada 2015, kami pulang ke Kedah dan menetap di Sungai Petani untuk memulakan perniagaan ini.

“Permulaan kami adalah di rumah kami sendiri di mana tingkat bawah kami jadikan tempat operasi dan tingkat dua kami anak beranak menetap,” katanya ketika ditemui di pejabat MummyRQ di Taman Halal Kedah, Sungai Petani baru-baru ini.

Bercerita lanjut, keazaman untuk mengetengahkan produk makanan bayi yang halal toyyiban bagi pasaran dalam negara menggerakkan syarikat itu untuk mampu bertahan sehingga kini.

“Pada 2017 kami masuk ke Taman Halal Kedah dan mula sewa satu unit sahaja sebelum mengembangkan kilang kepada tiga unit, dua tahun lalu. Alhamdulillah, kapasiti pengeluaran kini lapan tan sebulan bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara. MummyRQ mempunyai pasukan yang lengkap termasuk untuk melakukan R&D produk,” katanya.

JAZNEEDA Mohamad Jamil menunjukkan produk makanan bayi keluaran MummyRQ yang beroperasi di Kedah Halal Park di Sungai Petani, Kedah. UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat berkenaan turut memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan MeSTI daripada Kementerian Kesihatan pada 2017 sekali gus mengukuhkan rangkaian produk MummyRQ termasuk untuk pasaran luar negara.

“Selain pasaran domestik, MummyRQ sudah dipasarkan ke Brunei dan Myanmar. Kami kini dalam proses memohon pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan sijil daripada Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) untuk teroka pasaran luar.

“Percaya atau tidak negara luar termasuk Eropah dan Amerika Syarikat menaruh keyakinan tinggi terhadap produk makanan dari negara kita kerana status halalnya. Halal itu bagi mereka adalah bersih, ini yang kami usahakan selain mempromosikan produk MummyRQ di Malaysia,” jelas ibu kepada empat cahaya mata ini.

Bercerita tentang rahsia kejayaan MummyRQ itu, kata Jazneeda, kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan memberi makanan bayi yang berkhasiat dan halal itu semakin meningkat sejak 2015.

“Kami turut memastikan semua bahan yang digunakan daripada sumber yang diyakini dan mendapat sijil halal di pihak pembekal. Bukan itu sahaja kami juga menggunakan bahan yang organik sahaja daripada beras perang, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Anak-anak kami sendiri makan produk-produk ini sejak kecil dan Alhamdulillah kesihatan mereka sangat baik. Itu amalan baik daripada makanan organik. Ini antara kesedaran yang kami ingin ketengahkan kepada ibu bapa tentang kepentingan makanan berkhasiat kepada bayi mereka,” jelasnya.

MummyRQ juga baru menghasilkan produk baharu dalam rangkaian makanan bayi sedia dimakan pada Ogos lepas berasaskan R&D syarikat itu sejak 2018 selain dalam proses memeterai kerjasama dengan sebuah hospital swasta untuk menempatkan produk mereka.

“Kami berharap ia akan memberi kemudahan kepada ibu khususnya yang berkunjung ke hospital bagi mendapatkan makanan berkhasiat bagi bayi mereka,” katanya yang pernah berkecimpung dalam bidang penyiaran sebelum bersara pada 2011 untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga.

The Little Humans Cafe milik MummyRQ Sdn Bhd di Kota Damansara Selangor.

Jazneeda berkata, usaha syarikat berkenaan tidak terhenti di situ apabila MummyRQ mengorak langkah membuka sebuah kafe makanan bayi dan orang dewasa yang diberi nama The Little Humans Cafe di Kota Damansara, Selangor pada Februari lepas.

“Kafe ini menyajikan makanan untuk semua lapisan usia daripada bayi enam bulan ke atas sehingga makanan orang dewasa. Kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti untuk ibu bapa dan kanak-kanak di kafe ini,” katanya.

Bercakap tentang perancangan masa depan, katanya, MummyRQ berharap memiliki kilang sendiri pada masa hadapan dan bergerak sebagai sebuah syarikat korporat unggul dalam memasarkan produk makanan bayi halal terkemuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya