Aliran trafik dijangka tumbuh positif setelah projek WCE siap - Utusan Malaysia

Aliran trafik dijangka tumbuh positif setelah projek WCE siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: WCE Holdings Berhad (WCEHB) menjangkakan pertumbuhan positif dalam aliran trafik dengan penyiapan empat bahagian baharu projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjelang suku pertama 2024.

Empat bahagian yang kini dalam fasa pembinaan termasuklah Seksyen 1, Seksyen 2, Seksyen 6, dan Seksyen 11.

Penyempurnaan bahagian-bahagian ini juga akan membina sambungan penting ke lebuh raya sedia ada, menghubungkan Seksyen 1 dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Seksyen 2 dengan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Seksyen 6 dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), dan Seksyen 11 dengan Lebuhraya Utara Selatan (NSE/PLUS).

Di samping itu, Seksyen 3, 4 dan 7 dijadikan sasaran untuk disempurnakan menjelang tahun kewangan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif WCEHB, Lyndon Alfred Felix menekankan beberapa faktor yang menyumbang kepada keyakinan pertumbuhan positif dalam aliran trafik setelah empat bahagian tersebut disiapkan.

“Paling penting, tiga daripada empat bahagian terletak di Selangor, di mana jumlah trafik cenderung lebih tinggi.

“Selain itu, bahagian-bahagian ini dihubungkan kepada lebuh raya utama lain yang akan menggalakkan lebih banyak penggunaan.

“Dengan pembukaan empat bahagian ini, akan wujud peluang yang lebih besar untuk pengangkutan sederhana hingga jauh serta kenderaan komersial,” katanya dalam kenyataan.

Tegas beliau, setelah empat bahagian tambahan ini dibuka, pihaknya menjangkakan peningkatan dalam pengguna jarak sederhana hingga jauh serta peningkatan dalam kenderaan komersial atau Kelas 3.

“Kesesakan di lebuh raya PLUS juga akan memainkan peranan penting dalam mengalihkan pengguna jalan ke WCE,” katanya.

Sejak pembukaannya pada 2019, empat bahagian yang beroperasi telah menyaksikan angka trafik yang memberangsangkan, dengan purata 50,000 hingga 60,000 kenderaan melaluinya setiap hari, menandakan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April, trafik mencapai rekod 100,000 kenderaan setiap hari, peningkatan yang ketara daripada 60,000 kenderaan setiap hari semasa tempoh perayaan yang sama dalam tahun kewangan sebelumnya.

Sebanyak 99.9 peratus daripada pengambilan tanah bagi seluruh projek ini telah selesai.

Proses pengambilan tanah bagi lapan lot yang masih berkaitan dengan Seksyen 3 WCE (KESAS – Laluan 2 Lebuhraya Persekutuan) telah tamat, dengan pembayaran kepada pemilik tanah sedang dijalankan.

Kumpulan ini menjangkakan untuk menyelesaikan sepenuhnya proses pengambilan tanah bagi lapan lot tersebut menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya