PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat sokongan padu daripada pendukung tenaga mampan dan teknologi bersih tempatan dan antarabangsa bagi menjayakan Persidangan Peralihan Tenaga 2023.
Persidangan julung kali itu mendorong pacuan mempercepatkan peralihan bertanggungjawab terhadap tenaga mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pacuan menuju peralihan tenaga bersandarkan kepada pengimbangan keterjaminan kemampuan pembekalan sambil menangani cabaran penting perubahan iklim.
“Potensi kerjasama kolektif bagi pengguna teknologi boleh baharu dan pembangunan penyelesaian tenaga inovatif yang akan memelihara masa depan lebih bersih dan mampan.
“Saya juga opitimis persidangan dua hari itu akan membuahkan langkah jitu mengekang pelepasan karbon dan meredakan pemanasan global,” katanya dalam kenyataan.
Menyedari kepentingan kerjasama rentas sektor dan peranan industri, Bahrain berkata, TNB menghimpunkan pakar bidang, peneraju industri, penggubal dasar dan pengamal untuk merencanakan peralihan tenaga bertanggungjawab di peringkat serantau.
Persidangan ini mendapat sokongan rakan kongsi Berlian termasuk Auto Bavaria, Hyosung Corporation, K2 Strategic, Sunway Group, dan Trilliant. Rakan kongsi mobiliti hijau, Auto Bavaria menerajui perniagaan dan pengedaran automotif merentasi Asia Pasifik.
Rakan kongsi tenaga pula, Hyosung Corporation menguasai pelbagai sektor seperti bahan kimia, mesin, IT, perdagangan dan pembinaan.
Rakan kongsi infrastruktur data, K2 Strategic menawarkan infrastruktur digital berskala besar dan perkhidmatan awan.
Selain itu, Sunway Group komited membangunkan bandar mampan dan menggerakkan Matlamat Pembangunan Mampan PBB, sementara Trilliant, rakan kongsi pendigitalan, menyediakan penyelesaian infrastruktur pemeteran dan baru-baru ini menceburi bidang pembuatan di Malaysia.
Dalam kategori Emas, barisan rakan kongsi utama termasuk Genntrack Group Ltd, Huawei Malaysia, Malakoff Corporation Berhad dan Trina Solar Co Ltd. Gentrack Group merintis penyelesaian teknologi bersih yang memperkasakan utiliti global manakala Huawei Malaysia
merupakan pakar dalam kelengkapan telekomunikasi, pengguna elektronik dan solusi perusahaan.
Pengeluar Tenaga Bebas, Malakoff Corporation komited kepada kecemerlangan tenaga dan pengawasan alam sekitar manakala Trina Solar Co Ltd menerajui solusi ‘photovoltaic’ (PV) dan projek tenaga solar seluruh dunia.
Rakan kongsi unggul Perak terdiri daripada China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), IHI Group, Oracle Corp Malaysia, dan Siemens AG, masing-masing menghimpunkan kepakaran dalam pembinaan infrastruktur, pembuatan industri berat, teknologi perisian, dan
infrastruktur pintar dan penyelesaian mobiliti.
Persidangan merangkumi 7,500 meter persegi ruang pameran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Ogos 2023 itu, turut diperhebatkan lagi oleh 20 rakan kongsi Gangsa terkemuka.
Ia dijangka menarik lebih 2,000 peserta daripada pelbagai industri dan platform ini akan mencambah rangkaian dan penglibatan dalam kalangan pemegang taruh utama sektor tenaga, mobiliti hijau, bandar mampan dan digital.
Agenda persidangan sarat dengan perbincangan berkaitan masa depan tenaga, mobiliti hijau, bandar mampan, pendigitalan, serta peranan tenaga mampan dalam ekonomi global oleh ahli-ahli panel daripada pelbagai latar belakang. – UTUSAN