KEMAMAN: Kerajaan negeri akan membangunkan semula projek pusat peranginan terkenal, Strawberry Park, di Kijal dekat sini menjadi sebuah resort lima bintang pada tahun hadapan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek pusat peranginan itu yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu dijenamakan semula oleh syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Inc dengan kerjasama pemilik tapak iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
Menurutnya, projek bernilai RM250 juta itu akan dibangunkan oleh syarikat pembangunan hartanah dan hotel iaitu iKHASAS Land Sdn. Bhd. dan pengoperasian resort oleh Courtyard by Marriot.
“InsyaAllah, projek pembangunan resort lima bertaraf antarabangsa ini akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026.
“Apabila siap kelak, resort ini akan dilengkapi 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite’ berlatar belakang laguna yang sangat cantik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Strawberry Park, Kijal, di sini, baru-baru ini.
Ahmad Samsuri berkata, resort tersebut juga akan dilengkapi dua ruang makan, bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang dan pelbagai kelengkapan lain seperti spa, ruang rekreasi air serta trek hutan.
“Resort baharu tersebut dijangka menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah sekaligus dapat mempromosikan Terengganu sebagai destinasi teko-pelancongan,” ujarnya.
Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah. – UTUSAN