MUAR: Satu sidang meja bulat akan diadakan Oktober ini bagi membincangkan solusi meningkatkan lagi nilai eksport perabot khususnya dari daerah ini.
Dalam perbincangan itu, beberapa masalah dihadapi pengusaha perabot akan dibincangkan supaya dapat mencari jalan penyelesaian bersesuaian.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertemuan dengan pengusaha industri perabot di Muar adalah untuk mendengar sebarang resolusi meningkatkan perusahaan berkenaan.
“Nilai eksport hampir RM19 billion menggambarkan industri ini adalah satu yang besar dan boleh ditingkatkan lagi melalui perbincangan meja bulat hasil kerjasama dengan kerajaan negeri nanti.
“Daripada pertemuan yang dilakukan hari ini, beberapa perkara seperti keperluan pekerja mahir serta mengenal pasti pasaran baharu telah disuarakan pada saya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri perabot di Sungai Abong di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Menteri Perdagangan Antara Bangsa dan Industri, Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perabot Malaysia, Desmond Tan Boon Hai berkata, kebanyakan pekerja mahir yang bekerja di kilang-kilang di Muar sudah tamat tempoh permit.

Ujarnya, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan untuk membawa masuk pekerja baharu bagi menampung kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan perabot.
“Kami juga memohon kerajaan membantu pihaknya mencari pasaran baharu kerana ketika kelembapan ekonomi dunia sekarang turut menjejaskan eksport perabot ke luar negara,” katanya. – UTUSAN