Purata upah bulanan pekerja formal tempatan RM2,600 - Utusan Malaysia

Purata upah bulanan pekerja formal tempatan RM2,600

RAFIZI Ramli (tengah) melancarkan Penerbitan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 mendedahkan median atau purata bagi pekerja formal tempatan pada Mac tahun ini adalah sebanyak RM2,600 sebulan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, upah itu melibatkan seramai 6.45 juta orang atau 55.5 peratus adalah pekerja lelaki dengan purata upah RM2,664 sebulan.

Beliau berkata, pekerja wanita pula mewakili 44.5 peratus bersamaan 2.87 juta orang dengan purata upah bulanan sebanyak RM2,545.

“Berbanding Mac tahun lalu, purata upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan meningkat masing-masing sebanyak 8.0 peratus, dan 8.6 peratus,” katanya ketika membentangkan laporan itu, yang turut dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, purata upah ter­tinggi pada Mac 2023 diraih bagi pekerja formal berusia 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun iaitu sebanyak RM3,500.

Mohd. Uzir berkata, kedua-dua kumpulan itu secara kolektif membentuk sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal di negara ini.

Menurutnya, median upah bulanan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun pula me­nunjukkan penurunan kepada RM3,400 pada Mac 2023.

“Kumpulan umur bawah 20 tahun pula menerima purata upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 (Mac 2023), katanya.

Katanya, mengikut sektor pula, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan purata upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM7,500 walaupun mereka hanya mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.

Jelasnya lagi, purata upah te­rendah pula direkodkan bagi sektor pertanian dengan RM1,900, namun menunjukkan pertumbuhan 8.9 peratus berbanding Mac 2022.

Selain itu, katanya, purata upah bulanan tertinggi mengikut negeri pula merekodkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima RM3,927, diikuti oleh Selangor sebanyak RM2,964 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,627. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN