MUKADIMAH
SATU daripada program latihan bagi graduan untuk meningkatkan kebolehpasaran dalam industri adalah Program Pembangunan Profesional Iltizam (Iltizam PDP) anjuran Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2012 itu telah melatih sebanyak 582 graduan sehingga 2022 dengan kadar mendapat pekerjaan enam bulan selepas tamat program sebanyak 89 peratus.
Program 12 bulan tersebut menyediakan graduan bumiputera yang berkelayakan dengan penempatan kerja selama setahun sebagai Rakan Bersekutu Siswazah di syarikat portfolio Ekuinas dan syarikat rakan kongsi.
Sejajar dengan peredaran zaman, Ekuinas juga peka dengan permintaan pasaran serta cara bekerja generasi baharu bagi memastikan modul mereka relevan dan menepati kehendak terkini.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, HIZWANI HASSAN berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI mengenai PDP ILTIZAM dan cara mereka untuk mengadaptasi keperluan pasaran serta melatih generasi Z yang berbeza dari generasi terdahulunya.
UTUSAN: Boleh terangkan mengenai Iltizam PDP?
HIZWANI: Melalui program Iltizam PDP, pelatih akan bersama dengan kami selama setahun dan mereka akan bekerja di syarikat rakan kongsi program serta gaji mereka akan dibayar oleh Ekuinas sebanyak RM2,500 termasuk potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Sepanjang tempoh tersebut, mereka juga akan mendapatkan latihan antara tiga hingga empat kali sebulan, selain terdapat juga bimbingan serta mentor termasuk dari alumni yang terdahulu.
Secara keseluruhan, peserta yang akan menerima manfaat kira-kira RM7,000 sebulan meliputi gaji, latihan, kos perjalanan serta tempat tinggal mereka di hotel sepanjang tempoh tersebut.
Berapakah dana yang diperuntukan untuk Iltizam PDP pada tahun ini?
Setiap tahun kami memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta bagi program ini dan dana tersebut adalah daripada Ekuinas sendiri.
Kami adalah firma pelaburan, jadi hasil daripada pelaburan yang kami peroleh tersebut kami salurankan untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini sebagai satu cara untuk kami kembalikan manfaat kepada komuniti.
Apakah perbezaan Iltizam PDP berbanding program latihan lain yang ada dalam negara?
Perbezaan utama kami dari program lain adalah bilangan pelatih yang kecil iaitu pengambilan sebanyak 75 pelatih sahaja setahun.
Ini membolehkan kami mengenali setiap pelatih dan kami juga sentiasa menambah baik modul serta memastikan mereka akan mendapat pekerjaan apabila tamat latihan.
Sebagai contoh, apabila mereka tamat latihan pada Disember, kami masih kekal berhubung dengan mereka pada bulan-bulan akan datang untuk mengetahui perkembangan serta membantu memberi bimbingan atau nasihat.
Malahan, ada juga kelas kami yang turut melibatkan alumni yang terdahulu seperti kelas untuk temuduga.
Bagaimana Iltizam PDP berdepan dengan cabaran melatih graduan daripada generasi Z yang mempunyai gaya hidup serta pemikiran yang agak berbeza dari generasi terdahulu?
Setiap tahun kami akan buat semakan semula berkaitan modul latihan dan berbincang bersama kumpulan mengenai generasi baharu yang akan masuk serta pendekatan yang kami perlukan.
Kami melihat, generasi baharu ini kurang mempercayai orang yang lebih tua, jadi kami telah membawa masuk lebih banyak orang muda dalam kumpulan untuk melatih dan membimbing mereka.
Selain itu, mereka juga mempunyai banyak sumber seperti daripada internet. Jadi, apa maklumat yang diberikan kepada mereka perlulah mempunyai sumber yang boleh mereka terima.
Apa yang penting adalah untuk tidak menghakimi mereka kerana apabila akhirnya mereka mendapat pekerjaan sudah tentu mereka akan gembira.
Kami juga perlu belajar untuk mengadaptasi serta pergi mendapatkan latihan untuk sama-sama memahami keperluan generasi baharu.
Apakah cabaran yang dihadapi untuk melatih generasi Z?
Modul yang diperkenalkan haruslah relevan dengan persekitaran semasa. Oleh itu, lebih banyak berkaitan teknologi maklumat (IT) seperti kecerdasan buatan (AI) diperlukan.
Selain itu, mereka juga perlu diajar untuk mengenalpasti sumber yang betul kerana mereka pada zaman yang terlalu banyak sumber.
Perspektif memang banyak tetapi mereka perlu mengenal pasti apa yang baik untuk mereka dan tidak terlalu terikut pandangan orang lain. Apa yang penting mempunyai pemikiran yang bebas.
Bilakah permohonan untuk Iltizam PDP 2024 dan syarat-syaratnya?
Permohonan untuk Iltizam PDP 2024 dibuka pada 15 Ogos ini dan pemohon mestilah graduan berusia kurang dari 30 tahun dengan CGPA 2.8 ke atas.