PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah menyumbang lebih RM708,783 kepada tabung amanah pembiayaan kos rawatan, ubat-ubatan dan peralatan bagi rawatan pesakit kanser Kementerian Kesihatan (KKM).
Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata sumbangan tersebut merupakan lima peratus daripada hasil kutipan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) bermula 2012 sehingga Jun 2023.
Menurut Pos Malaysia, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya yang bertujuan membantu pesakit kanser kurang berkemampuan untuk meneruskan rawatan mereka.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob dalam kenyataan sama berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM617,393 telah dibelanjakan bagi rawatan pesakit kanser seluruh negara khususnya di Institut Kanser Negara dan Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata, melalui sumbangan berkenaan, pelbagai peralatan perubatan dapat dibeli bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan.
“Antara peralatan perubatan yang dibeli ialah chemo port, oxygen concentrators, pleural and peritoneal indwelling catheters, infusion pump dan sebagainya.
“Bagi Januari sehingga Jun 2023, sebanyak 360,922 bungkusan telah dihantar melalui perkhidmatan UMP dan hasil daripada perkhidmatan ini, sebanyak RM84,276.70 akan disalurkan kepada Tabung Amanah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, pihaknya amat berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Pos Malaysia dalam memperkukuh usaha KKM untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan bagi setiap rakyat Malaysia melalui perkhidmatan UMP.
Beliau berkata, dengan menggunakan rangkaian luas yang menjangkau lebih 11 juta alamat di seluruh negara, Pos Malaysia berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa perubahan dalam kehidupan ramai pesakit
Ujar beliau, secara purata Pos Malaysia menghantar 60,000 bungkusan sebulan dan sentiasa komited dalam memastikan penghantaran ubat selamat serta tepat pada masanya kepada pesakit.
“Perkhidmatan ini menggambarkan komitmen kami sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat serta sentiasa memacu kepada pembangunan inovasi ke tahap yang lebih baik.
“Kami juga berharap dapat meneruskan usaha ini bagi meningkatkan taraf kehidupan demi membina masa hadapan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN