PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bekerjasama bagi kajian penggunaan minyak masak terpakai dan sisa minyak sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengeluaran SAF dengan mengitar semula minyak masak terpakai dan bahan buangan sawit amat bertepatan dengan salah satu konsep Ekonomi Madani yang menggalakkan pertumbuhan Teknologi Hijau.
“Perjanjian persefahaman ini bagi kerjasama kedua pihak dalam penggunaan minyak sawit terpakai dan sisa buangan sawit yang menyumbang kepada penjanaan tenaga mampan dan kesejahteraan ekonomi negara.
“Industri sawit adalah contoh kejayaan ekonomi sirkular yang berkonsepkan penghapusan bahan buangan, pengitaran semula produk dan pelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua organisasi tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 14 Ogos 2023 untuk meneroka potensi produk berasaskan sawit iaitu minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit di peringkat kilang seperti efluen kilang minyak sawit (POME) sebagai bahan mentah utama untuk kilang penapisan bio tempatan bagi menghasilkan SAF.
Pemeteraian perjanjian telah disempurnakan oleh Ahmad Parveez dan Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran, Petronas, Ahmad Adly Alia.
MPOB, sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi yang berperanan dalam memastikan kemajuan industri sawit negara dan Petronas akan bekerjasama bagi membangunkan rangka kerja termasuk kebolehkesanan minyak masak terpakai dan sisa bahan buangan sawit.
Di samping itu, kedua-dua pihak akan mengatur strategi komunikasi, pendidikan dan kesedaran umum (CEPA) mengenai kepentingan penggunaan minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit sebagai bahan mentah utama.
Pemeterian MoU juga sejajar dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara.
Dalam rantaian industri sawit, di peringkat ladang menghasilkan bahan buangan seperti batang dan pelepah sawit yang diproses untuk dijadikan papan komposit dan makanan ternakan. – UTUSAN