JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan berharap penamaan kapal tangki Eagle Vellore di limbungan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) di Pasir Gudang, di sini akan menjadi pemangkin dalam usaha rendah karbon negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kapal yang dimiliki kumpulan MISC Berhad (MISC) itu merupakan salah sebuah kapal tangki terbesar dalam saiznya di dunia.
Menurutnya, lebih menarik kapal itu menggunakan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan bakar, sekali gus melepaskan karbon kurang 30 peratus daripada kapal biasa.
“Kapal ini seberat 200,000 tan dan mampu membawa muatan kargo seberat 300,000 tan. Ini satu kebanggaan kepada kita kerana merupakan sebuah syarikat tempatan.
“Difahamkan, kapal ini akan memulakan pelayaran sulung menuju ke Rotterdam, Belanda esok selepas melakukan persinggahan di beberapa lokasi,” katanya selepas menghadiri majlis penamaan kapal berkenaan, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Shell Companies Singapura, Aw Kah Peng; Ahli Lembaga Pengarah MISC, Datuk Abu Huraira Abu Yazid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, S. Rajalingam.
Hasbi yakin pelancaran kapal tangki itu akan membantu penjanaan ekonomi negara termasuk dengan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan pengangkutan rendah karbon.
“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menyokong inisiatif rendah karbon menjelang 2050 dan ini merupakan salah satu daripada langkah diambil, kita mahu pengangkutan laut, udara dan darat juga menjadi lebih rendah karbon pada masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, Rajalingam memberitahu, kapal tangki berkenaan akan dikendalikan seramai 30 anak kapal setiap kali pelayaran.
“Hari ini dalam sejarah, ia akan kekal sebagai hari yang mengharumkan nama negara kerana kapal sebesar ini dan yang rendah karbon ini akan belayar ke seluruh dunia dengan mengibarkan bendera Malaysia.
“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kita berjaya lakukan perkara ini. Ia merupakan satu amanah dan kebanggaan kita untuk bantu tingkatkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya. – UTUSAN