SEBUT sahaja nama KTM, para pencinta dua roda sudah tentu tahu mengenai jentera berjenama dari Austria ini. Kalau dalam kancah kejuaraan motosikal Grand Prix Dunia, jenama ini kerap ‘mengganggu’ dominasi jentera-jentera dari Itali yang menduduki senarai tangga teratas. KTM juga sinonim dengan warna jingganya, dan selalunya berkait rapat dengan satu jenama minuman tenaga yang juga tidak perlu diceritakan lagi. Adakah RC390 terbaharu ini banyak perbezaannya daripada model-model terdahulu?
REKA BENTUK FIZIKAL
Kali pertama saya mengujinya ialah pada 2014, iaitu ketika model RC390 ini mula-mula diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Untuk tahun ini, saya menguji model yang diperkenalkan pada hujung 2022 dan harga pasarannya adalah RM33,800.
Perubahan paling ketara ialah bahagian cowling hadapan yang kini jenis lutsinar (mungkin penggunaan bahan yang sama macam ‘perspek’ seperti pelindung angin atau wind screen). Saya menyukai reka bentuknya, terutama kalau melihat daripada pandangan penunggang. Ia seolah-olah menggunakan dimensi dan rekaan yang sama dengan motosikal moto 3 dan penghadang anginnya juga seolah-olah jenis double bubble, iaitu sangat efisien menolak aruhan angin ke atas kepala penunggang.
Namun, penggunaan bahan seperti perspek dan boleh menampakkan bahagian dalam cowling itu memberikan dua perasaan yang berbeza jika melihatnya dari dua sudut. Ia cukup menarik bagi saya jika dilihat dari tempat duduk penunggang, tetapi saya tidak menyukainya apabila berdiri di hadapan RC ini kerana boleh nampak tembus ke dalam.
Malah, rekaan itu turut memberikan saya perasaan bahawa material ini bakal rapuh dan mudah pecah sekiranya motor tumbang atau tergelincir. Mungkin kualiti bahan yang digunakan adalah jenis yang ‘liat’ atau mudah lentur, namun saya tidak berani untuk mengujinya bagi melihat sejauh mana ketahanan transparent cowling ini.
Begitu juga dengan besi pemegang untuk pembonceng. Ada yang memanggilnya ‘tanduk’ (sememangnya ia menyerupai tanduk haiwan) dan kualitinya agak teguh dan keras. Saya faham akan fungsinya dan yakin para pembonceng RC390 pasti menghargai kewujudannya. Namun, sebagai pencinta motosikal sport, ia agak ‘mencacatkan’ imej laju dan ganas model ini.
PENUNGGANGAN
Mudah untuk saya simpulkan hasil uji pandu terhadap motosikal ini. Pelana tinggi, bar pemegang rendah, pemijak kaki juga tinggi, sistem suspensi yang tegar dan jitu, maka kesemua ini bermaksud RC390 bukanlah untuk penunggangan santai.
Dari segi geometri penunggangan, kestabilan casis dan sistem suspensi hadapan terbalik dan monoshock belakangnya, berjenama WP APEX (jenama yang sama digunakan oleh jentera-jentera KTM dalam kejohanan MOTOGP dunia), sudah tentu adalah yang diidam-idamkan oleh pencinta kelajuan. Bukan itu sahaja, kedua-dua suspensi ini boleh dilaras mengikut keperluan penunggangnya. Ini memberikan kestabilan untuk pengambilan selekoh-selekoh dengan kelajuan yang lebih tinggi. Disokong pula dengan sistem brek berjenama ByBre ( By Brembo), RC390 dicipta untuk anda membelasah selekoh-selekoh tajam sama ada dalam litar atau pun jalan berliku. Inilah keseronokan mutlak motosikal ini.
Namun, dari segi prestasi enjin, jika melihat daripada data spesifikasi, dikatakan enjin terbaharu ini menghasilkan lebih kuasa daripada model terdahulu. Ia mampu dicapai dengan konfigurasi rangkaian injap dan lengan aci sesondol berkembar (DOHC) disaluti karbon, dikatakan memberikan prestasi serta ketahanan guna pakai. Begitu juga dengan penalaan semula sistem enjin yang dijanjikan mampu lebih berkuasa daripada model terdahulu.
Namun, apa yang saya dapati, ia seperti mempunyai sedikit kelebihan hanya apabila RPM menunjukkan tahap 4,500-5,000. Sekiranya ia berada bawah daripada tahap tersebut, anda perlu menurunkan gear rendah untuk mendapatkan kuasa tujahan yang lebih baik, seolah-olah menunggang jentera dua lejang.
Sememangnya kapasiti 373cc bukanlah satu keupayaan yang tinggi, tetapi selalunya untuk jentera silinder tunggal, kuasa pada RPM rendah agak kuat, namun tidak pada RC390. Malah, tidak keterlaluan saya katakan, sekiranya anda pandai memilih saiz gegancu (sprocket) depan dan belakang, anda hampir pasti boleh mendapat hasil kuasa enjin yang sama pada model-model RC390 terdahulu.
Tambahan pula sistem cut off pada kadar RPM10,000 turut mengecewakan ketika memulas pendikit penuh daripada keadaan statik ke gear tertinggi.
Meter TFT yang disediakan ternyata memberikan perasaan motosikal terkini dan pengawalan cengkaman tayar (Traction Control), sistem ABS ketika selekoh (cornering ABS), pemilihan mod tunggangan ala SuperMoto dilihat sebagai tambahan terbaharu untuk RC390.
Sistem gearnya dikatakan dibantu oleh slipper clutch, namun saya kurang pasti sama ada ia dilengkapi oleh sistem quick shifter atau tidak. Pertukaran gear rendah ke gear tinggi tanpa menarik klac menunjukkan ia dilengkapi oleh sistem ini, tetapi agak kurang efisien terutama pada gear rendah. Mungkin anda perlu ‘menambah’ sistem ini dengan aksesori power parts daripada KTM untuk mendapatkan hasil yang benar-benar lebih baik.
KESIMPULAN
Untuk pasaran antarabangsa, RC390 disasarkan kepada para penunggang muda dan baharu, atau bagi yang beraspirasi untuk memasuki kancah dunia perlumbaan motosikal. Namun, bagi pasaran tempatan, ternyata mereka yang mampu untuk memilikinya sudah tentu golongan yang mempunyai lesen B penuh dan berpendapatan sederhana.
Sebagai alternatif, jentera-jentera sports dari negara matahari terbit yang lebih gemar menggunakan enjin dua silinder berkembar selari lebih memberikan julat kuasa yang lebih besar (pick up dan top speed). Namun, seperti kebanyakan model-model Jepun, ia jarang didatangkan dengan ciri yang mencerminkan imej sport sebuah motosikal.
KTM RC390 sememangnya memberikan keseronokan penunggangan dalam selekoh dan mengingatkan saya pada zaman muda dahulu ketika keberanian dan minat yang cukup mendalam pada motosikal perlumbaan. Namun, sekiranya anda berusia lebih 40-an dan memilih jentera ini untuk tunggangan harian, ia mungkin tidak terlalu sesuai kerana akan memberikan ketidakselesaan pada badan. – UTUSAN