PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua dijangka berkembang pada paras 4.6 peratus didorong oleh permintaan domestik terutamanya perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, proses pembukaan ekonomi telah menyaksikan peningkatan tahun ke tahun yang memberangsangkan dalam kemasukan para pelancong asing iaitu sebanyak 293.6 peratus dan 131.3 peratus pada April dan Mei lalu kepada 1.54 juta orang dan 1.55 juta orang.
Ujarnya, peningkatan di dalam trafik penumpang di lapangan terbang juga melonjak sebanyak 91.5 peratus pada suku kedua kepada 38.8 juta orang.
“Perkembangan positif itu sudah pasti akan memberi kesan limpahan kepada sektor-sektor yang lain, seperti makanan dan minuman, perhotelan dan penginapan, restoran, perkhidmatan pelancongan, pengurusan acara dan pelbagai lagi.
“Namun, isu seperti kenaikan kos sara hidup serta prospek ekonomi global yang tidak menentu dijangka akan memberi kesan kepada sentimen perniagaan dan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Oleh itu, katanya, momentum pertumbuhan ekonomi pada suku kedua ini dijangka perlahan jika dibandingkan dengan suku pertama yang mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6 peratus.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut berpendapat, KDNK Malaysia bagi suku kedua dijangka berkembang lebih perlahan berbanding 5.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Jelasnya, itu kerana ia dipengaruhi oleh penyederhanaan dan penguncupan merentas semua sektor ekonomi, dengan jangkaan pertumbuhan suku kedua adalah di antara 3.8 peratus hingga 4.3 peratus.
“Antara sebab utama adalah sektor perkilangan yang lembab berikutan penguncupan eksport yang terjejas oleh aliran perdagangan yang lembab dan pertumbuhan global dunia yang menurun.
“Ini dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi China dan pengurangan permintaan daripada rakan perdagangan utama di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
“Penguncupan eksport China iaitu rakan dagang terbesar Malaysia untuk 11 tahun berturut-turut memberi kesan besar kepada Malaysia yang merupakan sebahagian daripada rantaian nilai global dunia untuk pelbagai industri pembuatan, seperti industri elektrik dan elektronik (E&E).
“Justeru, jumlah perdagangan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku kedua 2023, memandangkan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan,” katanya.
Selain itu, katanya, harga eksport komoditi yang lebih rendah telah menjejaskan lagi prestasi perdagangan Malaysia.
Ujarnya, kesan asas daripada lonjakan tahun sebelumnya berikutan perang Russia-Ukraine, membawa kepada penguncupan dalam kedua-dua eksport dan import.
Aimi Zulhazmi berkata, kejatuhan harga minyak dan gas asli Brent pada Jun pula telah menjejaskan eksport produk berkaitan minyak dan gas (O&G) dengan ketara.
Tambahnya, sektor pertanian juga terjejas, dengan eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit merosot sebanyak 42.1 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Ekonomi negara untuk suku kedua dan seterusnya untuk tahun ini, didorong oleh ekonomi domestik yang terus berkembang, terutamanya oleh sektor pengguna yang tetap kukuh.
“Bagaimanapun kelestariannya bergantung kepada pertambahan pendapatan, aliran tunai yang murah dan kawalan ke atas kadar inflasi yang mana akan meningkatkan pendapatan boleh
guna.
“Unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh masih kekal antara 4.0 hingga 5.0 peratus buat masa ini. Trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal disokong oleh permintaan domestik yang teguh, walaupun sektor perdagangan luar negara dijangka terus lembab,” katanya.