PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC memeterai perjanjian dengan PT Pelindo Jasa Maritim untuk meningkatkan sektor maritim dan memupuk hubungan dua hala yang lebih kukuh antara kedua-dua organisasi.
PT Pelindo Jasa Maritim merupakan subholding PT Pelabuhan Indonesia (Persero) yang mengendalikan penyediaan Perkhidmatan Marin, Penyelenggaraan Peralatan Pelabuhan dan Perkhidmatan Utiliti Pelabuhan.
Ia turut memainkan peranan penting dalam menyokong industri Maritim di Indonesia dan memudahkan perdagangan dan pengangkutan melalui aktiviti berkaitan pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, kerjasama tersebut merupakan lembaran baharu dalam hubungan maritim di antara kedua-dua negara.
“Kami percaya dengan memanfaatkan kekuatan kolektif bersama, kami boleh mewujudkan sinergi yang akan memberi manfaat kepada seluruh komuniti maritim,” katanya.
Majlis Menandatangani Perjanjian telah berlangsung pada 28 Julai 2023 di Hotel Renaissance, Johor Bahru di antara Md. Derick mewakili Johor Port dan Direktur Sumber Manusia PT Pelindo Jasa Maritim, Rachmat Prayogi.
Dalam Perjanjian yang dimeterai, Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau, dan Jabatan Perkhidmatan Marin yang menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan marin untuk semua kapal di dalam Had Pelabuhan Pasir Gudang akan meneroka potensi kerjasama dan peluang bersama PT Pelindo Jasa Maritim di dalam beberapa bidang.
Ia termasuk Perkhidmatan Pembangunan Modal Insan untuk meningkatkan potensi sedia ada khususnya dalam bidang Maritim, kerjasama Pengendalian Perkhidmatan dalam bidang Marin, Peralatan dan Pelabuhan (MEPS) serta kerjasama Pembangunan Pemasaran dalam MEPS.
Johor Port adalah sebahagian daripada pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dan pelbagai kepakaran dalam Pengurusan Pelabuhan dengan.
Perjanjian bersama PT Pelindo Jasa Maritim dijangka dapat meningkatkan usaha pembangunan dan peningkatan kualiti dalam kecekapan pelabuhan standing dengan pemain antarabangsa yang lain, selaras dengan visi Johor Port untuk menjadi pelabuhan pelbagai guna yang cekap dan bersepadu di rantau ini.
Kerjasama itu juga dijangka akan memberi impak yang luas kepada landskap Perdagangan dan Maritim di rantau Asia Tenggara.
Kedua-dua pihak juga komited untuk memupuk kerjasama, berkongsi pengetahuan, dan memacu pertumbuhan mampan dalam sektor maritim. – UTUSAN