Harga bahan binaan dijangka naik 15 peratus lagi - Utusan Malaysia

Harga bahan binaan dijangka naik 15 peratus lagi

NK Tong (tengah) bergambar selepas taklimat media mengenai Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menjangkakan kenaikan kos bahan binaan sebanyak 15 peratus bagi separuh kedua tahun ini ekoran peningkatan purata harga simen, konkrit dan pasir bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

Presidennya, Datuk NK Tong berkata, sebanyak 87 peratus daripada 148 ahlinya mendapati kenaikan harga bahan binaan lebih tinggi pada 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ahli kami turut melaporkan lebih 10 peratus kenaikan tahunan dalam harga purata bagi simen, konkrit dan pasir pada 30 Jun 2023 dengan peningkatan harga simen sebanyak 21 peratus, konkrit (13 peratus) dan pasir (11 peratus).

“Selain itu, sejumlah 87 peratus responden mendapati harga bahan binaan meningkat berbanding tahun sebelumnya namun ramai tidak menyedari kenaikan yang berlaku memandangkan pemaju telah melaksanakan beberapa langkah dalam menangani kenaikan kos tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024 di sini, semalam.

Ditanya sama ada harga rumah bagi separuh kedua 2023 bakal meningkat selari dengan jangkaan kenaikan kos bahan binaan, Tong enggan mengulas mengenainya.

Bagaimanapun, beliau berkata, inisiatif mesra rakyat yang diumumkan kerajaan sebelum ini dijangka menyokong belian hartanah meskipun berhadapan dengan persekitaran mencabar ekoran jangkaan kenaikan harga bahan mentah berkenaan.

Menurut Tong, langkah kerajaan seperti menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), pengenalan skim perumahan Madani dan pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengenai cadangan Tabung Perumahan Negara dilihat bakal memberikan hasil positif kepada sektor hartanah.

Ujar beliau, inisiatif yang diumumkan kerajaan itu dapat memacu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya kategori B40 dan M40 selain menyokong pemain industri hartanah.

“Ekonomi Madani mampu merangsang sentimen pembeli rumah memandangkan pembelian hartanah ini mempunyai dua fungsi iaitu dari segi kemampuan wang tunai dan juga masa hadapan dari segi harga apakah ia semakin baik atau semakin teruk.

“Jadi, dengan usaha kerajaan yang sangat mesra rakyat, saya fikir ini semua akan berjalan lancar untuk sentimen pasaran dan oleh itu orang ramai akan membeli dalam sektor hartanah.

“Sudah tentu kita mempunyai masalah global yang berubah di sekeliling kita terutamanya di luar negara, namun saya merasakan Malaysia lebih cenderung dalam mengharunginya dengan baik serta dilindungi daripada beberapa isu berkaitan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus daripada responden dalam kajian berkenaan merancang untuk melancarkan projek mereka pada separuh kedua 2023, dengan 3/4 daripadanya menjangkakan prestasi jualan mereka sekitar 50 peratus dan ke bawah.

Kebanyakan rancangan pelancaran hartanah adalah berharga antara RM150,001 hingga RM300,000, terutama di Kedah dan Perlis, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya