WALAUPUN dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan apabila mengalami masalah buta mata kiri dan separa rabun sebelah kanan namun keadaan itu tidak menghalang Roslan Bidin untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
Berbekalkan semangat juang yang tinggi serta prinsip mesti menyempurnakan sesuatu perkara dengan sehabis baik, perniagaan kraftangan berasaskan rotan dihasilkan anak kelahiran Kampung Beseri Dalam di Perlis berusia 54 tahun itu terus bertahan hampir dua dekad.
Antara barangan yang dihasilkannya adalah pembuatan produk kraftangan seperti tudung saji, bekas mengisi kerongsang, bingkai cermin, bakul dobi dan pelbagai lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Roslan atau lebih dikenali sebagai Lan Seni berkata, dia mempelajari teknik pembuatan kraftangan ini sekitar tahun 1994 di sebuah institusi khas orang kelainan upaya (OKU) di Pulau Pinang.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Lan Seni yang buta mata kiri dan separa rabun sebelah kanan menceritakan bahawa dia mendapat pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dan SK Dato’ Wan Ahmad di Kangar , Perlis.
“Saya kemudiannya menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah namun malangnya hanya setakat tingkatan tiga kerana terlibat kemalangan di sekolah itu.
“Keadaan itu menyebabkan saya mengalami pendarahan beku pada kepala dan sukar bergerak. Ini menyebabkan saya mengambil tindakan tidak meneruskan pembelajaran formal sebaliknya mendalami bidang muzik bersama orang-orang tua di kampung ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.
Tambahnya keadaan itu membolehkan dia menguasai kemahiran bermain beberapa instrumen muzik seperti akordian, keyboard, bonggo dan gendang.
Kata lelaki tersebut, atas dorongan kuat arwah bapanya, dia bersetuju mengikuti latihan kemahiran di sebuah institusi pendidikan khas untuk golongan buta iaitu Saint Nicholas di Pulau Pinang pada tahun 1994.
“Semasa berada di sana, saya mengambil keputusan untuk mempelajari cara pembuatan kraftangan berasaskan rotan dan pada masa sama memantapkan kemahiran bermain alat muzik.
“Walaupun lebih cenderung kepada muzik namun, atas nasihat orang tua, saya tekun mempelajari seni pembuatan kraf sehingga berjaya dan akhirnya membuat keputusan menubuhkan syarikat sendiri iaitu Lan Seni Kraf Enterprise pada tahun 2008,” katanya.
Bercerita mengenai perniagaan kraftangan rotan yang dihasilkannya, Roslan memberitahu pada awal pembabitannya, dia memasarkan produk tersebut di seluruh nat (pasar pagi) dan pasar malam sekitar Perlis dan utara Kedah.
“Penjualan kraftangan rotan ini boleh mempunyai potensi tinggi kerana ia mempunyai kelompok peminat yang tersendiri kerana mengimbau nostalgia lalu selain menjadi perhatian pelancong asing yang begitu menghargai hasil seni kraf ini.
“Pernah saya mencatat jualan sehingga RM10,000 seminggu semasa Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur dan purata jualan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.
“Selain itu, saya turut mendapat tempahan daripada orang perseorangan dan juga jabatan kerajaan untuk membekal produk kraftangan berupa dulang rotan untuk dijadikan bakul cenderamata,” katanya.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan lain-lain lagi agensi kerajaan yang menyokongnya.
Roslan tinggal berdua bersama ibunya, Embun Abdullah, 84, berkata, dia mampu menghasilkan dulang rotan saiz standard sebanyak tiga unit dalam tempoh sehari.
Katanya lagi, jika tempahan bersaiz besar, ia memakan sedikit masa dan akan menyarankan pelanggan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kelewatan.
Kegigihan Roslan juga berjaya menghasil sebuah novel berjudul ‘Izankan Aku Menyentuh Cintamu’ yang menceritakan tentang luahan hati seorang orang kelainan upaya yang mengimpikan kehidupan seperti manusia normal.
“Dalam kesempatan ini, ingin saya berpesan kepada anak muda khususnya, kena cuba belajar dan menguasai pelbagai bidang kerana kita tidak tahun dari mana bidang datangnya rezeki itu,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Roslan di talian 0113-566 2731 atau datang terus ke Bengkel Kraftangan Rotan yang terletak di Kampung Beseri Dalam, Kilometer 11, Jalan Padang Melangit di Kangar, Perlis. – UTUSAN