PETALING JAYA: BMW Malaysia memperkenalkan BMW iX M60, jentera kenderaan aktiviti sukan (SAV) elektrik yang sulung dalam segmen kenderaan sport berprestasi tinggi mereka, di samping dua varian BMW M2, iterasi terkini bagi jentera coupé kompak berprestasi tinggi daripada BMW M.
Langkah ini terus membuktikan komitmen pengeluar kenderaan premium ini untuk menginovasi janji ‘Sheer Electric Driving Pleasure’ dengan kuasa yang mendefinisikan ‘Ultimate Driving Machine’ berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, tahun ini telah menjadi satu titik sejarah yang bermakna bagi BMW Group Malaysia, menandakan ulang tahunnya yang ke-20 dengan terus mengekalkan kedudukan sebagai Pengeluar Kenderaan Premium No. 1 di Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut.
“Tahun 2023 juga telah menjadi satu detik yang penting bagi seluruh portfolio kami, dengan pengenalan beberapa model rintis BMW i dan BMW M Performance dalam tempoh enam bulan yang pertama, termasuk BMW i4 M50 dan BMW XM yang sulung.
“Kami ingin mempersembahkan sebuah era kenderaan berprestasi tinggi yang baharu buat para pelanggan kami di Malaysia, menerusi jentera elektrik tulen BMW iX M60 yang sulung dan iterasi jentera ikonik BMW M2 yang terbaharu,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai model SAV elektrik yang sulung bagi portfolio BMW M, BMW iX M60 menampilkan aneka teknologi canggih serta karakteristik pemanduan yang luar biasa seperti yang dijanjikan oleh jentera-jentera M Performance.
Sementara itu, BMW M2 terbaharu hadir dalam bentuk coupé kompak dua pintu dengan iras yang paling gah pernah dilihat dalam kelasnya.
BMW M2 turut mencerminkan kecemerlangan BMW M3 dan BMW M4, disempurnakan dengan casis yang berpaksikan teknologi litar lumba.
BMW iX M60 mampu menjana output maksimum mencecah 455 kW/619 kk serta jarak operasi elektrik sejauh 561 kilometer (WLTP), menjadikannya antara model elektrik terpantas dalam portfolio kenderaan prestasi yang bertaraf premium oleh BMW.
BMW iX M60 yang sulung didatangkan dengan daya pengecasan berkuasa tinggi pada kadar mencecah 195 kW, memudahkan penggunaan dengan mengecas kenderaan tersebut dari 0 peratus hingga 80 peratus hanya dalam masa 35 minit.
Bagi BMW M2 pula, mampu menjana kuasa sebesar 460 kk (330 kW) dan juga 550 Nm tork, disumbang oleh beberapa pengoptimuman utama, seperti aci engkol yang lebih ringan, sistem pembekalan/penyejukan minyak berpandukan prestasi litar lumba dan injeksi bertekanan tinggi bernilai 350 bar.
Dipasangkan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, enjin ini mampu menujah BMW M2 baharu dari posisi henti hingga 100 km/j dalam masa 4.1 saat sahaja, dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.
Para pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan M Driver’s Package yang boleh meningkatkan kelajuan tertinggi kenderaan ini kepada 285 km/j, ia boleh dimuatkan semasa atau selepas pembelian jentera tersebut, yakni di mana-mana pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai kenderaan-kenderaan tersebut, layari bmw.com.my. – UTUSAN