Usahawan kasut pernah berbaki 20 sen di tangan - Utusan Malaysia

Usahawan kasut pernah berbaki 20 sen di tangan

HASLINA Wani Abdul Hamid bersama-sama para pekerjanya di Butik Wanniz Shoppe miliknya di Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pengalaman merasai sendiri keperitan hidup dengan baki wang di tangan tidak sampai RM1 mendorong seorang wanita menawarkan kasut berkualiti pada harga murah bagi membolehkan golongan wanita bergaya tanpa pening kepala memikirkan bebanan harga.

Menurut Haslina Wani Abdul Hamid, 40, pada satu ketika dia pernah diduga dengan hanya memiliki wang sebanyak 20 sen bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru katanya, dia amat memahami keperluan golongan B40 yang perlu berbelanja secara berhemah kerana pendapatan tidak setara itu hanya cukup-cukup makan sekiranya tidak digunakan sebaik mungkin.

“Saya mula berniaga menjual pakaian pada tahun 2001, namun antara 2008 hingga 2009, perniagaan itu merudum teruk sehingga pada satu ketika, wang yang saya ada cuma tinggal 20 sen sahaja.

“Untuk bangkit semula, saya pinjam RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk berniaga secara kecil-kecilan sebelum membuat keputusan menjual kasut bermula tahun 2013,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejak itu kata Haslina Wani, dia mula mengorak langkah hingga memiliki jenama sendiri dikenali sebagai ‘Wanniz’ yang menawarkan kasut berkualiti dan selesa dipakai.

“Harga jualan pula bermula serendah RM20 sepasang. Langkah untuk menawarkan harga mampu milik ini seiring dengan usaha kerajaan dalam memperkenal harga Rahmah pada pelbagai barangan terutamanya makanan,” katanya.

Haslina menambah, dia merasa puas setiap kali dapat melihat para pelanggannya dapat menggayakan kasut-kasut yang berkualiti dan lebih penting selesa pada harga mampu milik.

“Walaupun berdepan cabaran kos pengeluaran yang semakin meningkat, saya tidak bercadang untuk menaikkan harga kasut jenama Wanniz secara mendadak dan tetap berharap untuk kekal dengan harga mampu milik.

“Ini mungkin cara saya untuk berkongsi rezeki dan mencari keberkatan dalam berniaga. Saya harap, lebih ramai usahawan menyahut saranan kerajaan. Biar untung sedikit tak mengapa asalkan jualan berterusan kerana itulah yang lebih baik,” katanya.

HASLINA Wani Abdul Hamid membantu pekerjanya melayani pelanggan yang mahu membeli kasut yang dijual di Butik Wanniz Shoppe miliknya di Jitra, Kubang Pasu.

Meskipun dijual pada harga mampu milik katanya, itu tidak bermakna dia mengambil mudah dalam aspek kualiti kasut-kasut yang dijualnya itu.

“Ini antara perkara yang diberi perhatian. Tiada isu kononnya kasut dijual tidak berkualiti semata-mata kerana dijual pada harga murah.

“Pelanggan kami pun ramai yang datang berulang kali untuk membeli kasut dalam pelbagai reka bentuk ditawarkan di sini kerana kata mereka, kasut-kasut ini tahan lama. Mereka nyata berpuas hati dengan kualiti kasut ditawarkan,” katanya.

Tambah Haslina Wani, syarikatnya itu akan sentiasa berusaha menambah stok kasut baharu dengan pelbagai reka bentuk bagi ditawarkan kepada pengguna terutama menjelang perayaan untuk digayakan oleh kaum wanita.

“Saya berharap dapat membantu lebih ramai individu memiliki kasut yang selesa, berkualiti dan cantik pada harga berpatutan.

“Memang itu niat saya selama ini dan saya gembira kerana semakin ramai yang memberi kepercayaan kepada jenama kami,” katanya.

Sementara itu, Butik Wanniz Shoppe miliknya kini memiliki dua cawangan di Jitra dan Alor Setar, dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya