Perodua catat pengeluaran 17% lebih tinggi kepada 153,813 kenderaan - Utusan Malaysia

Perodua catat pengeluaran 17% lebih tinggi kepada 153,813 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perodua telah mengeluarkan 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, peningkatan sebanyak 17 Peratus berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Pencapaian pengeluaran itu meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 kenderaan bagi separuh pertama 2023 berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Bezza merupakan model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan jumlah yang didaftarkan antara Januari dan Jun adalah sebanyak 40,555 unit, diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Perodua Axia sebanyak 28,199 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang syarikat.

“Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini kerana syarikat kereta kompak itu akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan tact time yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” katanya dalam kenyataan.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023, peningkatan sebanyak 1.0 peratus daripada 68,316 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Zainal Abidin berkata, prestasi pengeluaran Perodua pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

Pada suku kedua 2023, Perodua merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh.

“Sebagai contoh, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

Namun begitu, kumpulan masih teguh dengan sasarannya, dan berterima kasih kepada para pelanggan atas sokongan dan kesabaran mereka.

“Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami.

“Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.0 peratus kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan para pelanggan kami yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya