PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus memberi ruang kepada rakyat dan perniagaan yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos sara hidup untuk memulihkan ekonomi masing-masing.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan itu juga berikutan kadar inflasi teras terkawal dan inflasi keseluruhan bertambah baik pada 2.8 peratus Mei lalu.
“Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu sangat membantu terutamanya kerana kuasa membeli pengguna yang berkurangan apabila pertambahan OPR sekali gus meningkatkan lagi pembayaran pinjaman bulanan kepada bank.
“Jadi, rakyat boleh menarik nafas lega dengan keputusan BNM, selain pengekalan OPR mampu mengekalkan perkembangan ekonomi domestik supaya terus berkembang.
“Ini memandangkan eksport negara semakin perlahan dengan beberapa bulan kebelakangan ini jumlah perdagangan negara semakin sederhana, malah eksport mengecut dua bulan berturut-turut pada April dan Mei,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, ini disebabkan ekonomi global semakin merosot dengan keadaan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang perlahan berikutan bank pusat masing-masing menaikkan kadar faedah dengan tinggi dalam usaha menurunkan inflasi yang memuncak.
“Ia berikutan kenaikan harga tenaga yang bermula selepas pandemik berakhir dan perang Russia-Ukraine yang terus berlangsung dari Februari 2022 memberikan tekanan kepada kenaikan harga barangan global,” ujarnya.
Mengulas mengenai prestasi bursa dan ringgit di sebalik pengekalan OPR, Aimi Zulhazmi berkata, kedua-duanya lebih dipengaruhi oleh faktor-faktor makroekonomi global terutamanya perkembangan pasaran kewangan AS dengan jangkaan akan berlaku kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) lagi tahun ini.
“Walaupun BNM telah memberi respon kepada kenaikan Fed AS dan mengawal kenaikan inflasi di dalam negara, nilai ringgit dan Bursa Malaysia tetap menyusut sejak beberapa bulan yang lalu.
“Struktur ekonomi malaysia yang kukuh adalah tidak selari dengan nilai mata wang ringgit semasa dan prestasi Bursa Malaysia sekarang ini,” katanya.
Kelmarin, BNM menjelaskan pengekalan OPR adalah susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini.
Keadaan itu katanya, berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka.
Jelasnya, pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada tahun 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.
“Ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN