NETR buka peluang pelaburan sehingga RM1.85 trilion - Utusan Malaysia

NETR buka peluang pelaburan sehingga RM1.85 trilion

Rafizi (tengah) dan Nik Nazmi (dua dari kiri) bergambar pada majlis pelancaran NETR Bahagian Pertama: Projek dan Inisiatif Pemangkin Utama di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin utama dijangka bakal membuka peluang pelaburan di antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata antara projek yang terlibat adalah zon tenaga boleh baharu (TBB) bersepadu milik Khazanah Nasional Berhad yang akan dilaksanakan melalui usahasama UEM dan ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd.

Menurut beliau, loji kuasa fotovoltaik solar hibrid (PV) berkapasiti satu gigawatt (GW) itu merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara dan berjaya menarik pelaburan berprofil tinggi daripada blok ekonomi utama berjumlah RM6 bilion.

“NETR juga turut membuka pintu kepada pelaburan hidrogen di Sarawak bagi menjadikannya sebagai hab hidrogen dan turut meletakkannya di dalam rangka kerja penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) agar projek pemangkin itu dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Kami akan terus memanfaatkan kos teknologi yang semakin berkurangan dalam TBB dan membina kelebihan sebagai penggerak pertama dalam pelan baharu ini dengan memindahkan pelaburan ke kawasan kawasan yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian NETR Bahagian Pertama: Projek dan Inisiatif Pemangkin Utama yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, di sini, semalam.

Mengulas mengenai pelancaran NETR, Rafizi berkata, kejayaan itu menandakan perubahan penting dalam pemikiran negara di mana pelan itu bukan hanya sekadar dokumen yang mengandungi langkah sementara untuk memenuhi sasaran sifar bersih.

Ujarnya, NETR merupakan gabungan strategi dan inisiatif yang mampu mengubah ekonomi, mata pencarian dan kedudukan kita di dunia di mana ia mengandungi 10 inisiatif pemangkin utama yang akan menentukan pemikiran dasar dan hala tuju ekonomi pada tahun-tahun akan datang.

“Selepas beberapa bulan penglibatan, sumbang saran dan menjamin komitmen akhir, kita berjaya melancarkan Fasa Pertama NETR yang akan membantu kita mengubah ekonomi dengan membuka usaha niaga menguntungkan yang baik untuk alam sekitar dan ekonomi.

“Keupayaan kita untuk terus bergantung pada sumber minyak dan gas yang terhad semakin berkurangan dan kejutan harga yang kerap dan kemerosotan struktur dalam industri bahan api fosil telah menyukarkan kita untuk menganggap minyak dan gas sebagai asas utama dan akhir bagi Malaysia,” katanya.

Justeru itu, katanya, NETR merupakan usaha kerajaan dalam mengubah ekonomi TBB agar ia dapat meningkatkan kapasiti pemasangan kita dengan pantas melalui infrastruktur dan teknologi yang tepat.

“Bagi menunjukkan komitmen kerajaan akan memperuntukan RM80 juta bagi pemasangan panel solar di atas bumbung bangunan miliknya di samping mengubah amalan lama yang dipraktikkan selama ini.

“Kami tidak lagi akan menghukum agensi kerajaan dengan memotong bajet mereka daripada penjimatan elektrik yang dibuat melalui solar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya