MELAKA: Kerajaan negeri berhasrat menarik lebih banyak syarikat konglomerat dari Amerika Syarikat (AS) untuk melabur di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pengembangan operasi pembuat cip terkemuka AS, Texas Instruments Inc. (TI) berjumlah RM5 bilion bagi pembinaan kilang baharu seluas 400,000 kaki di Batu Berendam di sini akan dapat meningkatkan lagi keyakinan para pelabur.
Kata beliau, TI telah lama bertapak di Malaysia iaitu sejak 1972.
“Setakat ini TI adalah satu daripada syarikat AS yang mengembangkan (operasi) dengan membina bangunan tambahan baharu untuk pemasangan dan ujian bagi memperbesarkan lagi perniagaannya di negara ini.
“Kita harap dengan keyakinan yang ada ini, kita akan menjemput lebih ramai syarikat-syarikat konglomerat daripada AS untuk datang melabur di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah kilang TI di sini, hari ini.
Hadir sama Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.
Dalam pada itu, mengenai sasaran pelaburan yang berjaya dicapai lebih awal, Ab. Rauf berkata, beliau optimis angka tersebut akan melebihi RM8.2 bilion menjelang hujung tahun ini.
Katanya, sasaran tahunan sebanyak RM5 bilion yang ditetapkan sebelum ini berjaya dicapai dalam tempoh enam bulan pertama menerusi pelaburan TI.
“Tahun ini Melaka akan dapat lebih daripada RM5 bilion yang mana telah kita capai pada pertengahan tahun ini. Jumlahnya kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.
“Pelaburan tahun lepas sebanyak RM8.2 bilion dan kita jangka akan dapat lebih daripada itu,” ujarnya. – UTUSAN