MBSB jangka muktad pengambilalihan MIDF bulan depan - Utusan Malaysia

MBSB jangka muktad pengambilalihan MIDF bulan depan

Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Datuk Azlan Shahrim (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MBSB, Encik Ramanathan Rajoo selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) MBSB, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dijangka memuktamadkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pada bulan depan setelah menerima kelulusan pemegang sahamnya.

Pengambilalihan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) tersebut melibatkan cadangan pembelian sebanyak RM1.01 bilion yang akan diselesaikan dengan terbitan 1.05 bilion saham MBSB pada RM0.9652 sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB baharu, Rafe Haneef berkata, penggabungan itu strategik bagi kedua-dua kumpulan perbankan kerana kumpulan itu akan muncul lebih berdaya tahan dari segi kewangan dengan kapasiti yang diperkukuh.

Katanya, ini bagi bersaing dalam pasaran melalui kunci kira-kira yang lebih besar, jangkauan pelanggan yang lebih luas dan penawaran dan keupayaan produk yang dipertingkatkan.

“MIDF ialah pemain utama dalam perbankan pelaburan, pengurusan aset dan pakar dalam kewangan pembangunan yang memberi tumpuan terutamanya dalam pasaran perusahan kecil dan sederhana (PKS).

“Penggabungan itu akan mengembangkan spektrum perbankan kumpulan yang diperbesarkan. Terdapat pertindihan minimum antara asas pelanggan dan penawaran produk anak syarikat milik penuh MBSB, MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan MIDF,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar sempena mesyuarat agung luar biasa (EGM) MBSB di ibu pejabatnya di Menara MBSB di sini semalam.

Berikutan cadangan pengambilalihan itu, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB dan PNB akan muncul sebagai pemegang saham besar MBSB dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78 peratus.

Pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB akan berkurangan daripada 65.87 peratus kepada 57.45 peratus.

Sementara itu, Rafe berkata, penggabungan tersebut juga menjadikan jumlah aset keseluruhan kepada RM63 bilion yang merupakan saiz yang baik untuk segmen pasaran yang menjadi fokus iaitu PKS.

“Jumlah keseluruhan pembiayaan adalah kira-kira RM42 bilion dan dengan akses modal yang kami ada, terdapat potensi yang besar untuk mengembangkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak dua kali ganda.

“Memandangkan PKS adalah segmen yang kami ingin fokus yang mana kami lihat ada peluang pertumbuhan. Kami jangkakan dapat menyaksikan pertumbuhan aset ini dalam dua hingga tiga tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya