Fandi Motor Sport bawa lambang Petronas - Utusan Malaysia

Fandi Motor Sport bawa lambang Petronas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang pengusaha bengkel servis kenderaan di Kamunting dekat sini menyifatkan perniagaannya bertuah kerana kini membawa lambang Petronas pada bengkelnya.

Pemilik syarikat servis kenderaan Fandi Motor Sport Sdn. Bhd., Ahmad Azrul Afandi Fadzil, 36, berkata, dia bersyukur kerana bengeklnya dipilih untuk membawa lambang dan jenama Petronas, iaitu bengkel servis kenderaan kedua di Perak yang diberikan kebenaran untuk menggunakan lambang petronas.

Menurutnya, dia memulakan perniagaan itu kira-kira 11 tahun lalu bermodalkan RM10,000 melalui pinjaman Tekun Nasional.

“Berdasarkan pengalaman bekerja di pusat servis Proton, saya memberanikan diri menceburi bidang perniagaan ini untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Dengan modal pinjaman daripada Tekun itu, saya membuka syarikat Dhia Service Centre dan beroperasi di bawah bangunan rumah flat di Jalan Stesen di bandar Taiping pada tahun 2012, sebelum menukar nama kepada syarikat Fandi Motor Sport,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran premis servis kenderaan di Jalan Stesen, Kamunting di sini baru -baru ini.

Menurutnya, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi dalam memajukan perniagaannya sebelum dapat mencapai tahap sekarang.

Katanya, isterinya, Salmi Mohd. Rashid, 34, merupakan pendorong utama dia terus berusaha sehingga dapat mengembangkan perniagaanya dari sebuah kedai yang kecil kepada premis yang lebih besar dan menyediakan pelbagai perkhidmatan servis kenderaan.

“Berkat kesabaran dan dorongan isteri yang mengatur hal ehwal pentadbiran syarikat, kami berdua mendapat sebuah tapak baharu untuk beroperasi di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang disewa pada tahun 2016.

“Sejak berpindah ke tapak baharu itu, perniagaan kian berkembang dan kami mendapat bantuan dari pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Mara dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ahmad Azrul, bengkelnya mempunyai kira-kira 800 pelanggan tetap yang menggunakan perkhidmatan di pusat servis kenderaannya.

“Dahulu saya hanya mampu menggajikan empat pekerja sahaja. Melihatkan perkembangan syarikat serta mempunyai pelanggan tetap yang kian bertambah, saya tambah 16 lagi pekerja supaya dapat membuat servis perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih baik, cepat dan sistematik,” katanya.

Katanya, pusat servis itu menawarkan perkhidmatan servis enjin, minyak kenderaan, tukar alat ganti, jajaran, bateri dan beberapa perkhidmatan lain.

“Apabila syarikat saya terpilih untuk membawa jenama Petronas, ini lebih menyakinkan saya untuk melangkah lebih jauh ke hadapan bagi mengembangkan perniagaan yang telah dibangunkan.

“Dengan Inspirasi dan pengalaman yang ada serta kepercayaan yang telah diberikan oleh Petronas, saya merangka beberapa strategi untuk membuka beberapa buah rangkaian syarikat di daerah dan negeri yang lain pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Mohd Zameer Zahur Hussin berkata, bengkel servis kenderaan Fandi Motor Sport dipilih membawa lambang jenama Petronas berdasarkan pemilihan dari sudut teknikal dan komersial.

“Kita membuat pemilihan pada pengusaha yang betul -betul mempunyai pengalaman dalam bidang automotif dan Ahmad Azrul mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini.

“Syarikat ini merupakan syarikat yang kedua di negeri Perak selepas di Ipoh dan kita bercadang untuk memilih sebanyak 40 buah syarikat lagi di negara ini untuk membawa lambang jenama Petronas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya