DUCATI sememangnya terkenal dengan nama jolokkan Ferari alam dua roda pertama kerana datangnya dari Itali dan reka bentuk atau kejuruteraan enjinnya jauh berlainan daripada motosikal-motosikal dalam pasaran global. Tidak cukup dengan itu, kejuaraan demi kejuaraan mutlak yang diperolehi daripada perlumbaan motosikal elit dunia seperti MOTOGP dan juga Kejuaraan Superbikes Dunia.
Varian Hypermotard ini pula, sekiranya ada yang bertanyakan erti perkataan tersebut, Motard adalah secara ringkasnya, sebuah motosikal lasak atau scrambler, dipasangkan tayar sports yang selalu digunakan pada motosikal jalan raya atau perlumbaan litar. Perkataan Hyper itu sendiri sudah tentu bermaksud lebih daripada kebiasaan. Maka apabila dicantumkan perkataan Hyper dan Motard, maka terhasillah jentera Ducati ini.
FIZIKAL
Hypermotard diwujudkan dalam tiga variasi iaitu Standard, “SP – Special Production” dan RVE. Untuk artikel kali ini, saya dibekalkan seunit varian RVE untuk ditungganguji. Apa bezanya antara versi standard dan RVE ini? Jika dilihat daripada mata kasar, ternyata versi RVE ini didatangkan dengan rekaan grafik yang lebih ekstrim, pelana duduk dengan dwi warna, rim roda belakang dwi warna dan yang tidak dapat anda lihat ialah varian RVE ini dilengkapi dengan sistem gear Quick Shift EVO yang membolehkan penunggangnya melaksanakan proses turun dan naik gear dengan pantas tanpa perlu menarik tuas klac.
Mod penunggangan, Sensor pengambilan selekoh, Sistem Pengawalan cengkaman roda (DTC), Sistem anti wheelie, sistem kotak gear Quick Shift, Mode tahap penghantaran kuasa, Lampu waktu siang/day time running lights (DRL), handel aluminium, pemijak kaki penumpang boleh ditanggalkan dan soket pengecas peranti USB, adalah antara sistem yang dilengkapkan dalam jentera Hypermotard RVE ini. Ini sudah tentu membantu kepada penunggangan yang lebih jitu dan lebih sempurna dalam keadaan penunggangan yang laju dan ekstrim.
Roda bersaiz 120/70-17 untuk hadapan dan 180/55-17 untuk roda belakang memperlihatkan motosikal berpelana tinggi ini mempunyai keupayaan untuk ‘meleper’ di sudut yang ekstrim jika ditunggang oleh seorang yang pakar dalam penunggangan motosikal motard.
Ketinggian pelananya pula setinggi 878mm, mampu membuat individu yang kurang dari 160cm bertenjet sekiranya berada atas motosikal ini dalam keadaan statik. Sementara itu, corong ekzos berkembar yang melingkar daripada bahagian kaki ke bawah peha anda dan berakhir pada bahagian bawah lampu brek belakang, sudah pasti menjamin pencinta motosikal yang lain terpaku rekaan seumpama ini.
PENUNGGANGAN
Ducati Hypermotard RVE ini, dalam keadaan statik sudah melaungkan imej ganas dan garangnya. Maka, selesai menghidupkan enjin yang dikuasakan berkapasiti 937cc, dan hanya seberat 201kg, ledakan bunyi ekzos yang mampu mengubah detak jantung anda, membuatkan anda hanya ingin memulas penuh pendikitnya. Mungkin anda seperti saya, menjerit keseronokan di dalam helmet penuh muka ketika merasakan tujahan kuasanya. Seperti dalam brosurnya, mempunyai kebolehan menukar naik atau turun gear dengan pantas tanpa perlu menarik klac, juga turut membolehkan anda berdesup dan menjejaki kelajuan melebihi 150km dalam sekelip mata.
Begitupun, perlu anda mengingatkan diri sendiri, kebolehan motosikal ini bukan untuk mencapai kelajuan tertinggi sehingga lebih 200km/j, tetapi ianya lebih kepada keseronokan mengambil selekoh-selekoh pendek, `mencilok’ dan menyelinap antara kenderaan lain di lebuh raya-lebuh raya yang menghubungkan antara kawasan kota seperti DASH, NPE, LDP, dan sebagainya. Inilah keseronokan sebenar Hypermotard ini. Enjin Testastretta II berkembar V ini dikatakan menghasilkan 114hp pada tahap 9,000rpm dan 96Nm tork dan sesungguhnya saya merasai hampir lebih daripada 70 peratus kuasa ini dapat dirasai ketika serendah 3,000rpm!
Penunggangan ketika dalam waktu puncak di tengah-tengah kesesakan lalu lintas sungguh tidak menyeronokkan, bukan kerana Hypermotard ini berat atau susah dikendali, tetapi panas enjin dan ekzos yang melingkar-lingkar di bawah paha begitu menyiksakan! Jangan menunggang Hypermotard ini dengan seluar jenis kain kapas atau nylon. Anda memerlukan, sekurang-kurangnya kain Jeans untuk menahan seketika bahang enjin/ekzosnya.
Sistem brek yang sinonim dengan jenama Ducati, iaitu BREMBO sudah tentulah memberikan kuasa pemberhentian yang cukup baik dan menarik. Sementara itu, penyerap hentakan hadapan yang didatangkan dalam tiub berkembar bersaiz 45mm jenis Marzocchi dikatakan mendapat pengurangan sebanyak 500 gm daripada unit sebelum ini.
KESIMPULAN
Hypermotard RVE adalah sebuah motosikal berprestasi dan berprestij. Sekaligus menjadikan ia satu ‘barang mainan’ untuk `kaum-kaum kayangan’. Harga jualan yang dikenakan untuk model ini adalah sekitar RM90,900 tanpa kos pendaftaran dan cukai jalan.
Sekali lagi, seolah-olah menidakkan keupayaan memilikinya kepada lebih daripada separuh pasaran motosikal tempatan.
Walau bagaimanapun, ia tetap menjadi idaman dan keinginan ramai, bukan sahaja setakat kebolehan penunggangannya, malah teknologi yang dibawa daripada alam perlumbaan motosikal dunia.
Keupayaan Ducati Hypermotard RVE menarik perhatian bukan hanya disebabkan rekaannya. Tanda nama DUCATI pada tangki bahan api bersaiz 14.5 liter jelas menjadikannya sebagai sebuah ‘Ferari’ dua roda. – UTUSAN