PETALING JAYA: Pengedar produk rumah pintar dari China, Aqara telah memasuki pasaran Malaysia menerusi pelantikan Hello Smart Sdn. Bhd. sebagai pengedar sah dan rakan kongsi perkhidmatannya.
Pelancaran itu akan memperluaskan pasaran Aqara di Malaysia, di mana jualan peranti rumah pintar dijangka meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM2.7 bilion menjelang 2027, daripada anggaran sekitar RM1.25 bilion tahun lalu.
Pengurus Jualan Global Aqara, Harry Zhang berkata, sejak produk Aqara memasuki pasaran tempatan menerusi Hello Smart pada 2019, ia menyaksikan pertumbuhan jualan memberangsangkan, terutamanya dalam kalangan golongan pembeli muda berusia antara 20 dan 40 tahun.
“Ia menggambarkan permintaan kukuh bagi produk Aqara, termasuk sistem pemantauan rumah, kunci pintu dan kamera keselamatan yang memberi manfaat besar kepada pengguna dari segi kemudahan, keselamatan serta ketenangan fikiran.
“Menerusi penawaran dan perkhidmatan terbaik dengan rakan kongsi kami di sini, saya percaya Aqara mampu memacu pertumbuhan pasaran rumah pintar di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran jenama itu di sini.
Menurut firma penyelidikan Statista, pasaran rumah pintar Malaysia masih di peringkat awal pertumbuhan, dengan jumlah jualan peranti rumah pintar dianggarkan berjumlah AS$268.2 juta (RM1.25 bilion) pada 2022.
Di Malaysia, hanya satu daripada sepuluh rumah (13.8 peratus) mempunyai peranti rumah pintar, menurut Statista.
Angka itu dijangka akan meningkat hampir dua kali ganda menjelang 2027, iaitu kepada 26 peratus di kala kesedaran pasaran meningkat, kos peranti pintar menurun dan keupayaan teknologi meningkat.
Dalam kalangan pemilik peranti rumah pintar di Malaysia, purata perbelanjaan tahunan untuk teknologi rumah pintar diramal mencecah AS$247 pada 2027, lebih 50 peratus lebih rendah daripada AS$547 yang dibelanjakan oleh pemilik peranti rumah pintar Amerika Syarikat pada 2022.
Harry Zhang berkata, pihaknya menyasarkan untuk menggandakan jualan di Malaysia tahun ini berbanding 2022.
“Ia akan dicapai antaranya menerusi pengenalan produk baharu seperti panel kawalan sentuhan pintar, sensor pintu dan tingkap, kunci pintu dengan pengecaman wajah dan lampu pintar,” katanya. – UTUSAN