Apa yang anda perlu tahu sebelum ubah suai rumah? - Utusan Malaysia

Apa yang anda perlu tahu sebelum ubah suai rumah?

PEMILIK rumah perlu memeriksa beberapa perkara sebelum membuat keputusan untuk melakukan ubah suai rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADALAH menjadi lumrah bagi rakyat Malaysia mengubah suai kediaman mereka untuk kelihatan lebih menarik dengan mengikuti rekaan semasa. Apatah lagi apabila melihat jiran tetangga mengubah suai rumah, maka sudah pasti kita juga teringin bukan.

Namun tidak semua begitu, ada yang mengubah suai rumah kerana memerlukan ruang lebih besar disebabkan pertambahan anggota keluarga. Ada juga menambah bahagian tertentu untuk keselesaan atau dijadikan ruangan simpanan.

Apa pun keperluan anda untuk mengubah suai rumah, ia memerlukan pelaksanaan yang terperinci serta tidak tergopoh-gapah, kerana jika tersalah ubah suai rumah wang, masa dan tenaga anda terbuang begitu sahaja.

Jadi dalam keluaran RINGGIT kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda panduan sebelum mengubah suai kediaman anda bagi mengelakkan kerugian serta penyesalan di kemudian hari.

Kenal pasti status kediaman anda

Perkara ini amatlah penting disebabkan tidak semua kediaman yang dibeli boleh diubah sesuka hati, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal keselamatan.

Jadi untuk selamat, sebelum anda mengubah suai kediaman yang dimiliki sebaiknya rujuklah dahulu dengan pihak pengurusan kediaman atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada rumah ada boleh diubah suai atau tidak.

Teliti, kaji dan nilai pelan rumah

Jika rumah anda boleh diubah suai maka langkah seterusnya adalah meneliti, mengkaji dan menilai kediaman dari segi ukuran, ruang keluasannya. Ini kerana tidak semua ruang di rumah kita sesuai untuk diubah suai.

Semasa proses ini juga anda harus memeriksa terlebih dahulu ruangan yang ingin diubah suai sama ada terdapat kerosakan atau tidak, di mana pendawaian elektrik anda dan lain-lain lagi. Ia bertujuan untuk memastikan anda boleh menuntut ganti rugi sekiranya kontraktor melakukan kesilapan.

Dapatkan nasihat dan panduan

Bak kata pepatah ‘malu bertanya sesat jalan’. Oleh itu jangan malu bertanya kepada ahli keluarga atau rakan-rakan anda yang pernah melakukan ubah suai rumah.

Banyak nasihat dan panduan yang boleh anda peroleh daripada mereka seperti berapa jumlah perbelanjaan, apa yang boleh diubah suai, bagaimana mendapatkan barang-barang pada harga berpatutan dan berkualiti serta juga kontraktor yang boleh dipercayai.

Jadi janganlah segan untuk bertanya, malah kami rasa mereka lebih gembira untuk berkongsi pengalaman dengan anda demi manfaat bersama.

Teliti bajet serta dapatkan sebut harga

Apabila melibatkan soal wang anda dinasihatkan untuk benar-benar memastikan ia berbaloi serta berjalan seperti yang dirancang bagi mengelakkan kerugian atau pertambahan perbelanjaan.

Oleh itu, tetapkan dahulu jumlah perbelanjaan yang anda ingin gunakan untuk mengubah suai rumah. Selepas bajet dimuktamadkan anda boleh mendapatkan senarai sebut harga daripada kontraktor-kontraktor yang bertauliah.

Tolong minta senarai sebut harga lebih dari dua kontraktor kerana anda boleh membuat perbandingan dengan lebih baik. Pastikan juga ia mempunyai maklumat yang terperinci.

Pilih kontraktor yang bertauliah

Bahagian ini merupakan paling utama sekali kerana jika tersilap pilih anda boleh ditipu dan juga kehilangan wang anda. Kenapa kami berkata demikian adalah kerana tidak semua kontraktor mempunyai kemahiran mengubah suai semua ruang kediaman.

Pastikan kontraktor yang dipilih berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Selain itu, pilih juga kontraktor yang berpengalaman dan anda boleh meminta mereka menunjukkan hasil kerja yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Sentiasa memantau proses ubah suai

Tidak semua orang melakukan bahagian ini kerana ada yang beranggapan apabila mereka melantik kontraktor maka semuanya di bawah tanggungjawab individu berkenaan.

Tanggapan seperti itu perlu diubah memandangkan ia juga merupakan tanggungjawab anda. Kehadiran anda memantau kerja-kerja pengubah suaian amat penting bagi memastikan kontraktor dan pekerjanya melakukan pekerjaan mereka dengan teliti.

Sekiranya terdapat kecatatan dan kerosakan semasa proses ubah suai anda boleh terus menegur untuk mereka perbetulkan. Jika tidak anda terpaksa mengeluarkan duit lagi untuk memperbaikinya apabila ia sudah siap.

Ingat mengubah suai rumah bukanlah satu proses yang singkat, jika boleh ambil masa secukupnya untuk merancang serta melaksanakannya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya