TERDAPAT tiga kelompok utama yang akan memilih jenama Triumph Trident 660 dari Britain ini. Pertama, mereka yang menginginkan kelainan, kedua, kelompok yang meminati keretaatau motosikal kontinental dan ketiga, kelompok yang meminati bunyi dan prestasi motosikal tiga3 silinder.
Triumph tetap setia menggunakan variasi jentera tiga silinder selari, yang kini menjadi ikonik untuk jenama ini. Triumph Trident berkonsepkan ‘street’ atau ‘naked’ yang mana kini menjadi konsep utama model-model utama dalam pasaran mereka. TRIDENT melambangkan ‘manifold’ atau tiga batang ekzos yang keluar daripada enjinnya menyerupai sebuah tombak bermata tiga atau dikenali juga sebagai TRISULA.
SENIREKA FIZIKAL
Pembaharuan yang dibuat untuk versi 2023 ini, lebih kepada sifat kosmetik. Penggunaan warna baharu seperti sapphire black, matt baja orange, matt jet black, dan silver ice dengan diablo red ternyata dihasilkan untuk memberikan satu sifat moden dan terkini. Ia juga untuk menarik minat penunggang muda untuk beralih arah kepada jentera berkuasa pertengahan ini.
Tangki bahan api Trident pula dilihat sebagai bahagian utama untuk model ini menyerlahkan warna-warna hebat yang terbaharu di pasaran, hanya berkapasiti 14 liter walaupun secara fizikalnya ia tampak besar. Namun, terdapat ruangan pada tangki tersebut untuk `mengepit’ peha penunggangannya lengkap `dialas’ dengan lapik getah yang menambah kredibiliti rekaan model ini.
Bahagian penghadang lumpur juga menggunakan rekaan ‘splash guard’ iaitu penghadang air dan lumpur yang dipasang pada lengan ayun dan bukannya di bahagian bawah ekor seperti kebiasaan model-model yang lain, juga turut dilihat sebagai penarik.
Penggunaan pemegang berwarna hitam juga dilihat memberikan satu imej ‘garang’ dengan padanan tapak pemegang berwarna aluminium, memberikan kontra warna yang menarik. Begitu juga dengan penggunaan ekzos yang pendek dan berkedudukan di bahagian bawah motor, antara dua roda.
Dari aspek rekaan lampu hadapan, gabungan elemen retro dapat dilihat pada bentuk lampu yang bulat, mengembalikan nostalgia terhadap model-model jalanan Triumph dahulu yang menggunakan rekaan sedemikian. Namun untuk terus relevan dalam pasaran dan selera masa kini, lampu Trident ini dibahagikan kepada dua bahagian untuk suluhan lampu jauh (high beam) dan suluhan lampu biasa, serta dihiasi dengan lampu LED jenis DRL (daylight running lights) yang menghiasi bahagian luaran acuan dalamnya.
PENUNGGANGAN
Di sini saya agak sukar untuk merumuskan hasil ujian tunggangan yang telah saya lakukan. Ini kerana, saya mendapat hasil ujian yang bercampur aduk hasil daripada beberapa kali tunggangan yang dilakukan.
Trident ini dikatakan sebagai motosikal urban, atau fokus kegunaannya ialah untuk dalam bandar. Dari segi pengendaliannya, Trident sangat lincah, ringan untuk dilibas ke kiri atau ke kanan, namun tidak terlalu ringan sehingga rasa seperti hendak ‘tumbang’, atau mudah ‘terkunci’ pemegangnya. Trident membenarkan anda ‘mencilok’ di antara kenderaan pada waktu jalan sesak di ibu kota, seolah-olah anda menunggang motosikal kapcai.
Namun, keseronokan pengendalian Trident ini mula pudar apabila anda mula menunggangnya di lebuh raya dalam bandar seperti DASH, NPE, SUKE atau DUKE. Penghasilan kuasa tujahan (pick up) untuk enjin Trident ini sedikit mengecewakan. Jika dibaca pada lampiran atau laman web rasminya, enjin ini sepatutnya memberi kuasa yang baik di tahap rendah ke tahap sederhana (low to mid range). Juga dalam laman web rasminya, bahawa penghantaran kuasa yang baik walau secara linear (julat naik mendatar).
Secara peribadi, hasil penghantaran kuasa tujahan Trident ini agak lemah, dan kuasa dari tahap RPM rendah sehingga ke RPM tinggi agak lambat. Walaupun penggunaan sistem pendikit throttle by wire, di mana kawalan kuasa diuruskan oleh ECU (Electronic Control Unit), ternyata, dari segi penalaan standard, ia agak lemah. Hanya pada kadar RPM yang tinggi, baru Trident dapat menghasilkan kuasa enjin yang sedikit agresif.
Sekiranya anda menjadi pemilik Trident, ‘sesuatu’ perlu dilakukan sama ada anda perlu menunggangnya seperti sebuah motosikal dua lejang, iaitu keperluan untuk kerap menukar gear rendah untuk memberikan kuasa ketika diperlukan. Mungkin model ini sesuai untuk mereka yang baru sahaja menjinak-jinakkan diri dalam dunia motosikal berkuasa tinggi, tetapi bagi mereka yang sudah pun berpengalaman, Trident bakal membosankan anda dalam masa yang singkat!
Perasaan sewaktu menunggang Trident juga dirasakan agak tinggi pelanannya, seolah-olah anda berada di ‘atas’ motosikal dan bukannya perasaan di ‘dalam’ motor yang membolehkan anda merasa ‘bersatu’ dengan motosikal tersebut untuk memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh secara agresif.
Tempat pemijak kakinya agak rendah dan faktor ini menyebabkan penunggang tidak mudah penat. Akan tetapi kedudukanya yang agak rapat dengan pemijak kaki pembonceng, sedikit sebanyak mengganggu perubahan kedudukan kaki untuk pengambilan selekoh dengan lebih efisien.
KESIMPULAN
Triump Trident 660, seperti yang saya katakan di awal huraian pandu uji ini, memberikan perasaan bercampur aduk tentang sifat sebenar model ini. Dari satu segi, ia sebuah motosikal yang agak selesa, tidak memenatkan dan penghantaran kuasa enjinnya agak senang dikawal terutama untuk penunggangan baharu. Namun, sekiranya anda seorang rider yang lebih ‘serius’, anda pasti tidak menyukainya kerana tidak terdapat fungsi tambahan yang menarik seperti sistem penukaran gear tanpa menarik klac (quick shifter) yang telah menjadi satu kemestian untuk motor-motor baharu di pasaran. Tuas tangan untuk klac dan brek yang diberikan juga berwarna aluminium dan rekaannya agak lapuk, tidak menampakkan ciri-ciri ‘perlumbaan’.
Mungkin dengan harga kompetitif yang bermula daripada RM 45,900 tanpa cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran, membolehkan anda untuk memasang aksesori-aksesori sama ada untuk penambahan prestasi enjin atau untuk menambah ‘kacak’ motosikal anda ketika parkir. – UTUSAN