XOX jangka pertumbuhan pelanggan kepada 3.5 juta

XOX jangka pertumbuhan pelanggan kepada 3.5 juta melalui kerjasama dengan KDDI

ROY HO YEW KEE (kiri) dan Masaki Matsuura pada majlis menandatangani MoU antara XOX dan KDDI di pejabat KDDI di Menara Bangkok Bank, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: XOX Bhd. melalui anak syarikatnya, XOX Com Sdn. Bhd. (XOX) menyasarkan pertumbuhan pelanggan eSIM kepada 3.5 juta menjelang tahun depan berbanding 2.5 juta ketika ini, didorong oleh kerjasama strategiknya dengan KDDI Malaysia Sdn. Bhd. (KDDI).

Pengarah Eksekutif XOX, Roy Ho Yew Kee berkata, kerjasama dengan syarikat telekomunikasi kedua terbesar dari Jepun tersebut akan membolehkan pelanggan daripada kedua-dua syarikat memiliki satu talian eSIM  merentasi sempadan yang boleh digunakan di Malaysia dan Jepun.

Katanya, pihaknya menjangkakan produk eSIM tersebut dapat dilancarkan menjelang Januari tahun depan, bagi memanfaatkan aktiviti pelancongan rakyat negara ini yang sering melancong ke Jepun pada Disember, Januari dan Februari iaitu sebelum Tahun Baru Cina.

“Kerjasama ini sudah tentu akan menjadi keuntungan yang lumayan kepada syarikat tetapi saya tidak mempunyai nombor ketika ini. Perkara ini boleh dicapai melalui aktiviti pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara.

“Saya berharap penguasaan pasaran kami juga akan meningkat dan kami secara agresif menarik pelanggan baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefaham (MoU) antara kedua-dua syarikat di pejabat KDDI di Menara Bangkok Bank di sini semalam.

MoU tersebut ditandatangani oleh Yew Kee yang mewakili XOX dan KDDI diwakili oleh Pengarah Urusannya, Masaki Matsuura.

Dalam pada itu, Yew Kee, XOX juga kini dalam proses rundingan dengan penyedia telco dari beberapa buah negara lain dan berharap dapat mengumumkan kerjasama yang sama pada tahun ini.

“Ya, kami ada berbincang dengan negara lain untuk menyediakan satu eSIM merentasi sempadan antara negara-negara ini. Sasaran kami seterusnya adalah China, Singapura, Thailand dan Australia,” jelasnya

Sementara itu, Matsuura berkata, terdapat kira-kira 30,000 rakyat Jepun yang menetap di Malaysia dan 1,200 syarikat Jepun yang beroperasi di sini.

“Jadi, itu adalah sebahagian daripada sasaran kami untuk produk eSIM ini,” jelasnya.

Selain eSIM,  kerjasama tersebut membolehkan XOX dan KDDI menggunakan mesin layan diri SpaceX XOX dan pembangunan bersama aplikasi mudah alih Nimbus XOX sebagai perkhidmatan tambah nilai kepada pengguna mudah alih kedua-dua pihak di Jepun dan Malaysia.

Kerjasama itu juga termasuk penggunaan teknologi terkini kedua-dua syarikat untuk memudahkan pembangunan dan meningkatkan nilai projek pelaburan yang dijalankan oleh XOX. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya