Tambat ringgit kepada mata wang komoditi - Utusan Malaysia

Tambat ringgit kepada mata wang komoditi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat ringgit perlu ditambat kepada mata wang komoditi bagi mengelakkan pergerakan ringgit yang terlalu ketara berbanding mata wang lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit sukar untuk mengukuh kerana ia merupakan mata wang fiat yang tidak disandarkan kepada mana-mana komoditi sekaligus menyebabkan ia mudah terkesan apabila berlaku sebarang spekulasi.

“Itu sebenarnya yang berlaku kepada ringgit, yang sering dipengaruhi oleh apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), bukan semata-mata disebabkan perubahan dalam permintaan dan penawaran.

“Untuk mengelakkan pergerakan ringgit yang terlalu ketara, ada keperluan untuk menambatkan mata wang kepada komoditi.

“Mungkin ia boleh dilakukan melalui Central Bank Digital Currency (CBDC) iaitu mata wang kripto yang dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jalan untuk menyelesaikan masalah mata wang ringgit ini memerlukan dasar yang berbentuk jangka panjang.

“Jika dilihat trend jangka panjang, nilai ringgit sememangnya menunjukkan trend yang melemah.

“Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam membuat interpretasi supaya dapat meletakkan harapan yang realistik dalam usaha kita mencari jalan penyelesaian.

“Dalam hal ini, kita perlu melihat penanda aras ekonomi yang menunjukkan aliran masuk dan keluar ke negara kita iaitu Imbangan Pembayaran.

“Imbangan dagangan dalam sektor agro makanan terus menerus menunjukkan angka defisit iaitu RM29 billion pada tahun 2022.

“Angka ini terus melebar saban tahun yang mana pada tahun 2000 defisit imbangan dagangannya hanyalah RM2.9 billion.

“Di samping itu, penghantaran wang oleh para pekerja warga asing juga kian meningkat,” katanya.

Ujarnya, Imbangan Pembayaran Pekerja menunjukkan angka defisit RM7.2 billion pada 2022 berbanding defisit sebanyak RM0.5 billion pada 2005.

Jelasnya, sekiranya masalah itu tidak ditangani maka aliran wang keluar dari negara akan terus berlaku dan sudah tentu akan melemahkan mata wang ringgit.

Oleh itu, katanya, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan pelaburan dan masa.

“Sebagai contoh, sektor agro makanan perlu ditingkatkan melalui pelaburan yang akan dapat menaikkan daya saing industri seperti hasil pengeluaran yang lebih baik yang akan diterjemahkan melalui nisbah Tahap Sara Diri yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, Tahap Sara Diri bagi daging lembu, beras dan cili pada 2020 adalah 22.2 peratus, 63 peratus dan 30 peratus, masing-masing.

“Melalui nisbah ini, jelas kita terlalu bergantung kepada pasaran luar bagi memenuhi keperluan tempatan.

“Jadi perlu ada dasar dan pelaksanaan yang konsisten supaya negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk agromakanan dari luar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, bagi mengurangkan kebergantungan buruh asing kurang mahir pula, insentif bagi meningkatkan daya saing para peniaga perlu dipertingkatkan.

Tambahnya, itu termasuk menggalakkan aktiviti pelaburan yang dapat meningkatkan tahap pengeluaran yang menggunakan teknologi tinggi serta buruh mahir tempatan.

Mengenai jangkaan ringgit pada minggu depan, Mohd. Afzanizam memberitahu ia bergantung kepada penyelesaian siling hutang.

“Buat masa ini paras rintangan dan sokongan ringgit berbanding dolar AS adalah RM4.6257 dan RM4.5491.

“Saya jangkakan sekiranya usul siling hutang AS di luluskan, ringgit berbanding dolar AS mungkin akan bergerak ke arah paras rintangan iaitu RM4.5491,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya