PETALING JAYA: : Kenanga Research mengekalkan saranan ‘Neutral’ keseluruhannya ke atas sektor teknologi dan penerbangan berdasarkan prestasi suku pertama tahun 2023 yang direkodkan kedua-dua sektor terbabit.
Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, keputusan suku pertama tahun 2023 sektor teknologi mencatatkan penyampaian pendapatan yang lemah berbanding tiga bulan dengan 54 peratus daripada 13 buah syarikat di bawah liputannya berada di bawah jangkaan.
Katanya, pencapaian lemah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ketiadaan rangsangan daripada pembukaan semula China, peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan tarif yang kekal mencabar serta kenaikan kos overhead seperti tenaga kerja.
“Pendirian keseluruhan kami terhadap sektor teknologi kekal neutral, terutamanya disebabkan oleh kitaran rasionalisasi inventori yang berpanjangan disebabkan pemilik produk masih teragak-agak untuk memberikan komitmen kepada pesanan kerana ketidaktentuan yang menyelubungi persekitaran makro.
“Tambahan pula, kadar pemulihan China telah meleset daripada jangkaan konsensus, membawa kepada keperluan untuk semakan menurun selanjutnya dalam ramalan pendapatan,” katanya.
Menurut Kenanga Research, syarikat seperti D&O Green Technologies Bhd (berprestasi rendah, harga sasaran [TP]: RM2.65), Unisem (M) Bhd (prestasi pasaran; TP: RM2.75), dan JHM Consolidation Bhd (prestasi pasaran; TP: RM0.75) menyaksikan pendapatan menjunam lebih daripada 70 peratus suku ke suku.
Selain itu, Malayan Pacific Industries Bhd. (berprestasi rendah; TP: RM15.26) merosot ke dalam merah disebabkan kos overhead yang tidak diserap berikutan kadar penggunaan yang tidak optimum.
Bagaimanapun firma berkenaan berkata, ia masih melihat nilai dalam syarikat terpilih yang mempamerkan keterlihatan pendapatan berdaya tahan seperti Kelington Group Bhd (mengungguli prestasi; TP: RM1.92).
“Kumpulan itu yang dilihat sebagai proksi langsung kepada pengembangan fabrik wafer hadapan, dengan keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh buku pesanan RM1.9 bilion yang kukuh dan buku tender RM1.4 bilion serta bertapak kukuh dalam pelbagai pasaran seperti Malaysia, Singapura dan China,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai sektor penerbangan, Kenanga Research berkata, sektor perjalanan udara dijangka terus pulih sepanjang tahun ini dengan aktiviti bersedia untuk kembali ke tahap pra pandemik pada tahun 2024.
Katanya, menurut Tourism Malaysia, ketibaan pelancong di Malaysia dijangka melonjak 60 peratus kepada 16 juta orang pada tahun ini berbanding anggaran 10 juta setahun yang lalu dengan pemacu utama adalah pelancong China yang mengikut
sejarah menyumbang kepada anggaran 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.
“Jadi untuk tahun hadapan, kami mengunjurkan ketibaan pelancong melonjak lebih tinggi sebanyak 24 peratus kepada 20 juta orang, berbanding tahap prapandemik iaitu 26 juta orang.
“Kami menjangkakan perjalanan udara membabitkan perniagaan dan liburan akan terus pulih sepanjang tahun ini dengan aktiviti bersedia untuk kembali ke tahap pra-pandemik pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN