Segmen huluan dan pertengahan jadi tumpuan industri O&G - Utusan Malaysia

Segmen huluan dan pertengahan jadi tumpuan industri O&G

Syarikat minyak dan gas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri minyak dan gas negara tahun ini akan terus tertumpu kepada segmen huluan dan pertengahan, menurut MIDF Research.

Justeru itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan pendirian ‘positif’ ke atas segmen tersebut berdasarkan pengumuman suku pertama 2023 Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) minggu lalu.

“Kami mengekalkan keyakinan kami di dalam sektor ini dan terus memihak kepada segmen huluan dan pertengahan dengan saranan beli (TP) bagi MISC Bhd. pada RM8.16 dan Petronas Gas Bhd. RM18.43.

“Penurunan pandemik Covid-19 membawa kepada pemulihan dalam permintaan, terutamanya untuk segmen huluan dan pertengahan,” katanya.

MIDF Research berkata, kejayaan Petronas mencatat untung selepas cukai (PAT) berjumlah RM23.8 bilion bersamaan peningkatan sebanyak dua peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2023 disokong oleh peningkatan peroleh sebanyak 16 peratus tahun ke tahun kepada RM90.4 bilion.

GRAF prestasi harga minyak WTI setakat tahun ini. (Sumber: macrotrends.net)

Katanya, peningkatan dalam volum jualan dan kesan menggalakkan daripada pertukaran asing sebahagiannya diimbangi harga realisasi purata yang lebih rendah daripada produk utama.

“Petronas merekodkan jumlah purata pengeluaran harian sebanyak 2.49 juta tong setara minyak (Boe) bagi tiga bulan pertama 2023 berbanding 2.46 juta Boe tempoh sama tahun lalu.

“Ini disebabkan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi di pesisir pantai tempatan kita serta pengeluaran minyak mentah yang lebih tinggi dalam operasi antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, perbelanjaan modal (capex) dilihat akan kekal di dalam mod pengembangan di mana perbelanjaan suku pertama 2023 Petronas lebih tertumpu kepada projek gas asli cecair (LNG) terapung di pesisir pantai Sabah serta projek medan gas Kasawari di Sarawak.

“Meskipun PAT suku pertama Petronas merekodkan peningkatan kecil, operasi dan pengeluaran Petronas kekal teguh seiring dengan pemulihan pasaran buruh, pemulihan industri pembuatan dan peningkatan perbelanjaan pengguna ke atas produk minyak dan gas,” katanya.

Menurut MIDF, segmen huluan dan pertengahan dijangka kekal kukuh berdasarkan pertimbangan jumlah kontrak yang telah ditandatangani dan dipersetujui sehingga beberapa tahun akan datang.

Ujarnya, risiko yang merugikan akan kekal menjadi risiko kontrak dan musim penyelenggaraan atau penutupan yang tidak dijangka.

“Sementara itu, segmen hiliran menggambarkan risiko jangka pendek ketidakseimbangan di dalam permintaan bekalan meskipun permintaan produk petroleum meningkat sejak berakhirnya sekatan daripada Covid-19 serta kemasukan semula pelancong dan buruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya