Pasaran saham dijangka susut hingga minggu depan - Utusan Malaysia

Pasaran saham dijangka susut hingga minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran bursa tempatan dijangka terus menyusut dan didagangkan di bawah 1,400 mata sehingga 5 Jun berikutan kemelut kemelut siling hutang Amerika Syarikat (AS).

Pada pukul 9 pagi semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memulakan urus niaga 3.82 mata lebih rendah pada paras 1,383.30 berbanding penutupan kelmarin.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 218 berbalas 141, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,626 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung. Jumlah dagangan 327.35 juta unit bernilai RM158.25 juta.

Pada pukul 5 petang semalam, indeks FBM KLCI ditutup 5.44 mata lebih rendah kepada 1,381.68 mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tekanan kepada pasaran saham itu mungkin dapat diatasi lebih awal jika kerajaan AS dapat menyelesaikan masalah mereka itu.

Katanya, apabila keputusan dibuat di AS, sentimen pasaran akan menjadi lebih baik kerana sudah mempunyai hala tuju yang jelas.

“Selagi belum selesai kelulusan had siling hutang kerajaan AS oleh Dewan Senat iaitu sehingga 5 Jun, maka ketidaktentuan terus berlaku kepada pasaran kewangan dunia.

“Dolar AS akan terus mengukuh sebagai ‘safe-haven’ (tempat selamat) para pengurus dana seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketidaktentuan hala tuju ekonomi dunia dengan krisis geopolitik yang berterusan di Eropah Timur tidak membantu menceriakan ekonomi global tahun ini.

“Apatah lagi ekonomi ketiga besar dunia iaitu negara Jerman telah rasminya mengalami kemelesetan serta pembukaan ekonomi China yang lebih perlahan dari jangkaan awal,” ujarnya.

Tambah beliau, industri mikrocip global juga terkesan dengan perang cip AS dan China yang saling menyekat bekalan cip masing-masing

“Jadi, sebagai pembekal semikonduktor terbesar dunia, Malaysia turut terkesan dengan keadaan tersebut.

“Singapura juga melaporkan eksport barangan industri elektronik telah menurun 20 peratus pada April lalu,” ujarnya.

Menurut laporan media antarabangsa, tarikh akhir berhubung kemelut siling hutang AS dilanjutkan sehingga 5 Jun depan sebelum negara itu berdepan masalah kehabisan aliran wang tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya