Pasang surut kerjaya belia mula reda

Pasang surut kerjaya belia mula reda

tvet
SEKUMPULAN pelajar menyertai pertandingan TVET yang mencungkil bakat inovasi dalam kalangan belia negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH intervensi menerusi pelbagai rangsangan pasaran buruh menempa kejayaan apabila ‘pasang surut’ peluang kerjaya dalam kalangan belia mencatatkan tanda pemulihan.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, ketika memaklumkan perkembangan itu berkata, perkembangan positif ekonomi negara yang menyaksikan kadar keseluruhan pengangguran berkurang daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus tahun ini perlu dilihat menerusi perspektif lebih mendalam.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian perlu digarap kementerian bagi memastikan setiap kelompok pekerja dalam sektor buruh negara tidak tercicir daripada ‘radar’, khususnya apabila mereka memerlukan sokongan dan bantuan sewajarnya.

“Jika kita lihat daripada sudut pandang keseluruhan, penyusutan kadar pengangguran sebanyak 0.3 peratus memberi bayangan bahawa lebih banyak kerja ditawarkan kepada rakyat hasil perkembangan positif ekonomi Malaysia.

“Namun, penelitian lanjut kepada angka-angka mewakilli setiap kelompok pekerja menunjukkan belia iaitu individu berusia 15 hingga 24 tahun masih bergelut untuk mendapat pekerjaan seiring kelayakan mereka.

“Berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kadar pengangguran belia dijangka berlegar antara 10.3 peratus hingga 11.5 peratus tahun ini, berbanding kadar keseluruhan pengangguran iaitu 3.2 peratus,” katanya.

Bersandarkan situasi semasa dialami belia, Sivakumar berkata, kerajaan kekal memperuntukkan bantuan suntikan fiskal menerusi PERKESO yang merupakan satu daripada lima agensi utama dinaungi Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Katanya, pangkalan data maklumat pekerjaan PERKESO menunjukkan bahawa aktiviti pekerjaan belia pada 2021 dan 2022 kelihatan mula mendatar, selepas berterusan merekodkan trend penurunan bagi tempoh 12 tahun terakhir.

V. SIVAKUMAR

Sivakumar berkata, perkembangan positif itu selari usaha kerajaan dalam merangsang pengambilan pekerja melalui insentif penggajian dan mengekalkan pekerjaan melalui program subsidi upah.

“Program JaminKerja PERKESO adalah penjana perubahan dalam menggalakkan penciptaan pekerjaan dan pengambilan pekerja.

“Dengan menawarkan insentif kewangan kepada majikan untuk mengambil pekerja daripada pelbagai kumpulan sasar, termasuk belia berusia 15 hingga 24 tahun, program ini membantu sebanyak 55,837 orang mencari pekerjaan baharu sehingga 9 September 2022.

“Ini termasuk 10,034 graduan muda yang mendapat tempat perantisan peringkat eksekutif, serta ramai lagi yang diambil di bawah kategori ‘Pencari Kerja Am’.

“Melalui program ini, sebanyak 73.6 peratus peserta belia dalam program berjaya mengekalkan pekerjaan mereka selepas tamat tempoh pengekalan wajib enam bulan,” katanya.

Meskipun ekonomi Malaysia berkembang maju, Sivakumar berkata, belia sedang berdepan cabaran membukit dalam pasaran buruh apabila trend pekerjaan untuk taburan sektor swasta bagi tempoh antara 2008 hingga 2022 berkurang daripada 25.5 peratus kepada 19.3 peratus.

Beliau berkata, trend pekerjaan untuk golongan lebih berusia, iaitu individu antara 55 hingga 64 tahun pula merekodkan peningkatan signifikan daripada 3.7 peratus kepada 6.7 peratus.

NEGARA memerlukan belia yang berkemahiran untuk mendukung pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. – GAMBAR HIASAN

Menguatkan lagi perkara ini, katanya, data PERKESO mengesahkan kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) iaitu pekerja muda terkebelakang dalam pasaran buruh, dengan pertumbuhan pekerjaan tertumpu pada individu yang lebih tua dan berpengalaman.

“Seperti yang diingatkan oleh KRI, trend ini boleh memberi kesan jangka panjang yang serius terhadap perkembangan kerjaya belia kita.

“Walaupun wujud sedikit sinar harapan apabila unjuran bagi 2023 menunjukkan penambahbaikan, namun pada kadar 10.9 peratus, dianggarkan sebanyak 2.68 juta individu muda masih bergelut dengan pengangguran di negara ini,” katanya.

Menyingkap kesan pandemik Covid-19, Sivakumar berkata, belia adalah golongan paling teruk terjejas apabila kadar pengangguran mereka melonjak kepada 14.9 peratus susulan pasaran buruh yang lemah.

Katanya, perangkaan pada 2020 mencatatkan belia yang tiada mata pencarian mewakili 11.9 peratus daripada kadar keseluruhan kehilangan pekerjaan keseluruhan – perbezaan sebanyak 6.4 peratus jika dibandingkan dengan kumpulan umur 55 hingga 64 tahun yang mengalami kehilangan pekerjaan sebanyak 5.5 peratus.

“Jelas bahawa belia memerlukan sokongan lebih dalam usaha pemulihan ekonomi. SIPEMP+ adalah bantuan kewangan kepada individu yang bukan pembayar caruman PERKESO, termasuk graduan baharu dan lepasan sekolah untuk membantu mereka mengekalkan taraf hidup sementara mencari peluang pekerjaan baharu.

“Bantuan ini termasuk insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) diterima individu yang layak apabila menghadiri temu duga pekerjaan, serta Elaun Persediaan Pekerjaan (EPB) yang diberikan apabila mereka bersedia untuk memulakan kerja,” katanya.

BELIA VS EKONOMI GIG

Apabila membincangkan pekerjaan sendiri, Sivakumar berkata, umur tidak menjadi isu kerana data menunjukkan taburan yang agak seragam dalam kalangan semua kumpulan umur, dengan belia mempunyai 10.1 peratus bahagian daripada jumlah keseluruhan.

Namun, katanya, penelitian terperinci mendapati bahawa belia cenderung kepada beberapa sub-sektor tertentu, seperti Penghantaran Barang dan Perkhidmatan Sokongan, di mana mereka masing-masing membentuk 23.5 peratus dan 10.4 peratus daripada jumlah pekerja sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN