MITA unjur jana RM4 bilion pendapatan negara daripada pelancong China tahun ini - Utusan Malaysia

MITA unjur jana RM4 bilion pendapatan negara daripada pelancong China tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

INDUSTRI pelancongan antara sektor yang terjejas teruk semasa dan selepas pandemik Covid-19 sehingga ramai yang kehilangan pekerjaan dan pemain industri yang gulung tikar.

Walaupun negara sudah pun memasuki fasa endemik, sektor ini masih belum pulih sepenuhnya seperti sebelum pandemik iaitu dengan jumlah pelancong asing mencapai sebanyak 26 juta pada 2019 berbanding hanya 10 juta pada tahun lalu.

Usaha untuk merancakkan lagi sektor ini perlu terus dipergiatkan bagi mempertingkatkan ekonomi serta menjana pendapatan rakyat yang menerima manfaat daripada kedatangan pelancong asing ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), UZAIDI UDANIS berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI berhubung perkembangan industri, unjuran dan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

UZAIDI UDANIS

UTUSAN: Bagaimanakah prestasi sektor pelancongan di negara ketika ini?

UZAIDI: Sejak sempadan buka tahun lalu, Tourism Malaysia dan pemain industri pelancongan giat mempromosikan negara.

Saya turut pergi ke beberapa pasaran utama seperti United Kingdom (UK) dan mengambil bahagian dalam pameran pelancongan seperti World Travel Mart di London, ITB di Berlin dan Arabian Travel Mart di Dubai.

Saya lihat persaingan amat sengit untuk menarik pelancong terutamanya dengan negara seperti Thailand, Indonesia dan negara juga dengan negara baru dalam pelancongan seperti Arab Saudi.

Jadi, kami lihat industri pelancongan di seluruh dunia itu sudah maju dan semakin sembuh daripada pandemik.

Tapi Asia Tenggara ini dilihat agak lembab sedikit dalam pemulihan iaitu masih lagi pada 60 peratus berbanding dengan Eropah yang mana pemulihan itu sudah di tahap 90 peratus dari 2019.

Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti kos, yanag mana pasaran utama iaitu negara Eropah berasa agak jauh untuk datang melancong ke sini.

Adakah pembukaan semula China berjaya membawa masuk pelancong dari negara itu dan merancakkan industri pelancongan negara?

China adalah pasaran utama dan ramai yang mahukan pelancong dari negara itu kerana mereka mempunyai penduduk yang besar dan mempunyai kuasa beli.

Bagaimanapun, antara kekangan ketika ini adalah kekurangan penerbangan dan banyak lagi syarikat penerbangan tidak beroperasi sepenuhnya di semua lokasi seperti pada 2019.

Jika kekangan ini dapat diselesaikan, lebih ramai lagi pelancong datang ke sini.

Kementerian Pelancongan menyasarkan sebanyak lima juta pelancongan China pada tahun ini dan setakat Januari hingga Mac, jumlah pelancong yang sudah datang adalah 170,000.

Bagaimanapun, saya lihat pada bulan Jun dan seterusnya, jumlah pelancong dari China akan meningkat kerana cuti sekolah dan ‘Golden Week’ di China pada September dan Oktober yang mana mereka cuti panjang dan akan melancong.

Apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi merancakkan lagi kemasukan pelancong?

Kalau boleh berilah visa ketibaan (VOA) kepada pelancong yang datang ke sini sebagai promosi.

Ramai yang takut mereka datang tapi tidak balik. Namun, apabila mereka datang dengan agensi pelancongan yang berdaftar memang tidak ada langsung yang datang dan tidak balik.

Ini kerana, agensi pelancongan itu bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan sehingga mereka balik.

Tidak guna kami akan seludup mereka dan ia juga akan membuat kami di senarai hitamkan di China jika berlaku kes seludup.

Kalau ikut sejarah, tidak ada pelancong yang tinggal lebih masa kalau melalui agensi pelancongan.

Jadi, kerajaan boleh tengok bagaimana cara yang boleh dilakukan. Jika datang secara persendirian, itu adalah bergantung kepada pihak Jabatan Imigresen.

Berapakah unjuran kemasukan pelancong luar negara ke Malaysia pada tahun ini?

Kementerian Pelancongan mensasarkan 16 juta kemasukan pelancongan pada tahun ini.

Bagi pihak MITA pula, yang mana 70 peratus daripada ahli kami adalah agensi pelancongan, mereka berjaya membawa masuk sejuta pelancong daripada China sahaja pada 2019.

Tahun ini, kami harap dapat mencapai 70 peratus daripada jumlah tersebut atau pun 700,000 pelancong dari China.

Kami sekarang dalam proses rundingan untuk menarik pelancongan ke sini kerana mereka mengambil kira juga kekangan tadi seperti penerbangan dan juga berkaitan visa.

Berapa pendapatan yang dapat dijana melalui kemasukan pelancong ini?

Pelancong China akan berbelanja pada purata AS$1,300 (RM5,968) seorang.

Jika kami berjaya membawa masuk 700,000 pelancongan, maka dapat menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion kepada negara.

Ini termasuklah kos untuk hotel, pengangkutan, makanan serta membeli cenderamata yang mereka beli.

Apabila mereka datang, mereka suka makanan seperti durian dan juga makanan yang eksotik kepada mereka seperti petai yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong ini.

Perkara ini sekaligus dapat menjana pendapatan kepada usahawan-usahawan tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya