ALOR SETAR: Pengeluar kuah rojak terkemuka di negeri ini, Mak Bee Utara (M) Sdn. Bhd. melebarkan sayap dengan menceburi bisnes restoran khusus menyajikan makanan berkonsepkan Cina Muslim.
Pengarah Urusan Mak Bee Utara, Shazana Mahazir, berkata, syarikat tersebut melabur sebanyak RM250,000 untuk merealisasikan impian memiliki restoran dinamakan Mak Bee Chinese Muslim Kitchen yang beroperasi di Pekan Cina, di sini.
“Ini adalah salah satu impian keluarga kami terutama arwah nenek saya, Bibi Abdullah yang merupakan seorang Cina mualaf. Arwah dahulu turut menceburi bidang makanan dengan menyediakan nasi dan lauk pauk dalam mangkuk tingkat kepada pelanggannya.
“Sekarang selepas lebih 40 tahun Mak Bee ditubuhkan, impian keluarga kami akhirnya tercapai juga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Shazana, 37, yang juga pewaris perniagaan Mak Bee berkata, selain meneruskan susur galur tradisi keluarganya, pemilihan restoran berkonsepkan Cina Muslim itu dianggap mempunyai prospek yang baik di bandar raya ini.
“Saya percaya restoran khusus menyediakan makanan Cina Muslim ini belum ada di bandar ini dan Pekan Cina menjadi lokasi yang sesuai kerana di sini tumpuan orang ramai disebabkan nilai-nilai warisan lamanya.
“Kami menaruh harapan agar bisnes ini berkembang dan mendapat sambutan kerana Mak Bee bercadang untuk menambah cawangan restoran ini,” jelasnya.
Tambah beliau, restoran berkenaan menyediakan lebih 50 menu makanan Cina Muslim yang popular selain menggunakan resepi turun temurun keluarganya.
Bercakap tentang perniagaan kuah rojak, kata Shazana yang mewarisi perniagaan itu sejak tiga tahun lalu, kilang pengeluaran yang beroperasi di Taman Perindustrian Baharu Mergong akan menghasilkan belacan dalam masa terdekat.
“Selain kuah rojak, kami juga cadang nak hasilkan belacan kerana ia merupakan bahan utama untuk kuah rojak selain untuk dipasarkan. Pelaburannya dijangka sebanyak RM100,000,” katanya.
Katanya, Mak Bee juga dalam perancangan untuk memberi wajah baharu kepada kuah rojak tersebut daripada segi logo dan pembungkusan yang lebih komersial dan mesra pengguna agar membolehkan ia dieksport ke luar negara.
“Sebenarnya, ada peminat dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Australia yang tertunggu-tunggu untuk mendapatkan kuah rojak Mak Bee dan InsyaAllah, apabila ada pembungkusan baharu maka ia menepati piawaian untuk eksport produk kami ke luar negara,” katanya.
Mak Bee Utara turut memiliki Mak Bee Mart yang dibuka sejak Oktober 2021 dalam usaha memperluaskan pasaran produk kuah rojak Mak Bee dan pelbagai produk industri kecil dan sederhana daripada penduduk setempat. – UTUSAN