PETALING JAYA: Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) dinobatkan sebagai 10 Pemaju Terbaik 2023 di Anugerah BCI Asia (BCIAA).
Majlis makan malam gala Anugerah BCI Asia 2023 telah diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur mengalu-alukan penglibatan dari barisan pemaju hartanah terkemuka di Malaysia. Anugerah ini turut mengiktiraf pencapaian pemaju hartanah serantau yang telah memberi impak besar di seluruh Asia.
“Kelestarian dalam perumahan adalah sangat penting bagi LBS kerana manfaatnya amat besar baik kepada pembeli rumah mahupun alam sekitarnya di mana jejak ekologi mampu dikurangkan dan sekaligus memelihara sumber semula jadi yang amat berharga.
“Penerimaan positif konsep kelestarian dalam perumahan bukan sahaja melindungi masa depan bumi kita malah membantu meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan penduduk, di samping turut menjadikannya usaha yang bermakna untuk masa depan yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan,” jelas Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San.
“Tahun ini, projek yang dimenangi oleh LBS adalah Melodi Perdana, yang terdiri dari empat blok kediaman sebanyak 1,520 unit. Projek ini mempunyai purata saiz binaan yang selesa dengan 901 kaki persegi. Pembangunan Melodi Perdana ini dilaksanakan berdasarkan teras utama LBS iaitu mampu milik, rangkaian hubungan, komuniti dan kelestarian. Lebih utama lagi, kesemua unit ini dibina sebagai komitmen LBS untuk membantu negara memenuhi permintaan hartanah pada harga berpatutan,” tambahnya.
“LBS amat teruja apabila dinobatkan sebagai salah satu pemaju daripada 10 pemaju terbaik di Asia dan menerima pengiktirafan di Malaysia. Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong LBS dan pastinya kami akan terus berusaha dengan lebih kuat untuk kekal menjadi pemaju pilihan,”
Majlis Makan malam gala Anugerah BCI Asia 2023 turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, . – UTUSAN