SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) terus kekal meningkatkan taraf pemilikan rumah dan kualiti hidup di Bandar Elmina dengan pelancaran projek terbarunya iaitu Elmina Green Seven.
Kediaman superlink pegangan bebas pertama ini membentuk sebahagian daripada presint Elmina Green dan disambut baik di pasaran dengan semua 56 unit fasa pertama ditempah sewaktu pelancarannya.
Berharga lebih RM1 juta penambahan terbaharu kepada Signature Series di Bandar Elmina ini direka bagi memenuhi keperluan pelbagai generasi di bawah satu bumbung dengan mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan penghuni.
Saiz lotnya yang luas berukuran 24’ x 80’ serta halaman belakang seluas 12 kaki memberi ruang tambahan untuk penghuni merealisasikan idea landskap mereka.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, pelancaran Elmina Green Seven merupakan bukti kecekalan syarikat sebagai pemaju hartanah terunggul di Malaysia dalam mencipta produk yang memenuhi permintaan evolusi untuk ruang dan keselesaan, di samping menawarkan gaya hidup moden yang berdekatan dengan alam sekitar.
Beliau berkata, lebih ramai pelanggan kini memilih rumah yang bukan sahaja menawarkan kualiti hidup yang tinggi malah boleh bertahan sepanjang hayat.
“Dengan Elmina Green Seven, kami memperkenalkan rumah yang menggabungkan keselesaan, akses dan versatiliti serta dikelilingi alam semula jadi di dalam perbandaran yang sudah pun terkemuka.
“Kami juga berbangga kerana dapat memenuhi jangkaan pasaran yang semakin tinggi melalui tawaran- tawaran yang inovatif, jadi sama ada anda sedang mencari perbandaran untuk menetap, bermain ataupun meneroka, Elmina Green Seven mempunyai semua yang anda perlukan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shu Wei, Elmina Green Seven menawarkan 316 unit dengan dua varian iaitu Jenis 3 dan Jenis 4 di mana setiap satunya memenuhi keperluan gaya hidup yang berbeza.
Katanya, rumah Jenis 3 menawarkan fleksibiliti dengan keluasan binaan 2,363 kaki persegi, empat bilik tidur dan empat bilik air peribadi, manakala rumah Jenis 4 menawarkan keluasan binaan 2,477 kaki persegi, 4+1 bilik tidur dan lima bilik air peribadi.
“Rumah-rumah kediaman tersebut juga dilengkapi dengan pakej khas Fitting Plus+ yang termasuk penapis air luar rumah, pam penggalak bekalan air, pemanas air automatik, soket dan paip bagi penyaman udara di ruang-ruang terpilih serta pintu jeriji besi.
“Selaras dengan pendapat bahawa tempat yang baik adalah selesa untuk didiami, bakal pembeli akan menikmati akses ke pelbagai kemudahan dan servis di Elmina Green Seven.
“Ia termasuk daripada taman permainan kanak-kanak, kawasan berkelah dan kecergasan serta laluan refleksologi, kepada gelanggang tenis, bola keranjang dan serbaguna,” katanya.
Elmina Green Seven juga terletak berdekatan Elmina City Centre yang bakal menempatkan Elmina Lakeside Mall dan Hub Pendidikan di masa akan datang selain Taman Tasik Sakura seluas 21 ekar dan Tasik Infiniti seluas lapan ekar.
Bandar Elmina merupakan perbandaran berorientasikan kesejahteraan yang berfungsi untuk meningkatkan tahap kesejahteraan para penduduknya di mana semua penduduknya mempunyai akses kepada pelbagai taman termasuk Elmina Central Park dengan saiz seluas 300 hektar.
Tawaran gaya hidup komprehensif di Bandar Elmina dilengkapi dengan sistem perhubungan yang tiada tandingan melalui Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di mana penduduk boleh menuju ke bandar-bandar utama seperti Kota Damansara dan Petaling Jaya dengan mudah. – UTUSAN