Ducati Panigale V4S - Inspirasi jentera litar untuk dimiliki - Utusan Malaysia

Ducati Panigale V4S – Inspirasi jentera litar untuk dimiliki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENTERA keluaran jenama terkenal dari Itali ini tidak mampu dimiliki oleh ramai orang. Faktor harganya yang mencecah RM188,900, ergonomik yang menjurus ke arah kedudukan sebuah jentera lumba litar seperti World Superbikes, sistem elektronik yang membolehkan penunggang mencapai kelajuan dan pengendalian yang tiada tara bandingan.

Panigale V4s boleh dikatakan satu kelas di bawah jentera V4R yang benar-benar menjurus kepada sebuah jentera lumba. Secara kasarnya, V4s boleh dikatakan jentera lumba untuk ditunggang secara ‘sah’ di jalan raya. Dikemas kini dengan sistem elektronik yang juga dilengkapi sistem pengendalian brek jentera (EBC) EVO 2, membolehkan penunggang mengoptimumkan tindakan pemberhentian atau memperlahankan enjin untuk membolehkan keseluruhan motosikal stabil dan penunggang mengambil selekoh yang lebih kemas tanpa terlalu ‘mengunci’ roda belakang.

Begitu juga dengan sistem kotak gear yang membolehkan penukaran setiap gear dengan hanya menutup atau memulas pendikit (tanpa menggunakan tuas klac). Sistem “Ducati Quick Shift (DQS)” ditambah baik untuk model 2023 ini dengan hanya merencatkan pencucuhan pemasaan (ignition timing) ketika tindakan pertukaran dengan pantas dilakukan, tidak seperti model terdahulu, memutuskan bekalan bahan api beberapa detik untuk proses yang sama.

Lebih banyak penambahbaikan terhadap sistem bantuan penunggangan dan penyelenggaraan enjin untuk model 2023 yang turut meningkatkan lagi prestasi penunggangan yang lebih jitu serta penambahan kelajuan secara total terutamanya di dalam litar.

Saya berpeluang menguji jentera idaman ramai ini dalam satu sesi DRE (Ducati Riding Experience) yang dikhaskan untuk para pemilik Ducati atau kepada individu-individu yang ingin merasai keupayaan jentera ini dalam satu sesi tertutup.

REKAAN FIZIKAL

Ducati tidak pernah terpisah daripada rekaannya yang lebih menjurus kepada penunggangan secara ekstrim atau lebih serius. Belum pernah saya terjumpa mana-mana model atau jenis motosikal mereka yang dicipta untuk penunggangan santai, sama ada model jalanan, dwiguna, sports atau jenis ‘cruiser’ mereka seperti Diavel.

Reka bentuknya juga dapat diasingkan daripada mana-mana jenama dari negara matahari terbit. Malah, kerap ditiru oleh pembuat-pembuat motosikal sama ada dari China atau India, dan tidak kurang juga model-model dari Jepun yang cuba direka untuk bersaing dengan prestasi enjin berkembar Ducati.

Panigale V4s yang saya tunggang, daripada reka rupa bentuknya tidak banyak berbeza dengan model Panigale V4 biasa, mahu pun Panigale V2. Model Panigale ini merupakan rekaan motosikal sports sejati yang diasaskan daripada sebuah jentera lumba mereka yang telah pun merangkul gelaran juara dunia dalam World Superbikes 2022. Anda juga tidak salah jika mengatakan rekaannya seiras motor lumba MOTOGP terutama dengan penggunaan ‘sayap’ pada kiri dan kanan pelindung enjin atau fairingnya.

PENUNGGANGAN DILITAR

Untuk artikel pandu uji kali ini, saya tidak langsung melibatkan penunggangan di atas jalan raya biasa. Sebab yang paling utama ialah model ini tidak langsung memasukkan faktor keselesaan dalam kamus penciptaan mereka. Kedudukan pelana dan pemijak kaki yang tinggi, pemegang yang rendah, ternyata memberi peringatan bahawa ini bukan sebuah jentera penunggangan jarak jauh atau jentera santai yang ditunggang perlahan.

‘Kampung halamannya’ adalah litar perlumbaan. Melibas kiri dan kanan dalam Litar Antarabangsa Sepang ibarat sedang makan nasi. Tiada yang ‘luar biasa’ untuknya. Kebolehan sistem suspensi elektronik Panigale yang boleh anda laras sendiri melalui tombol-tombol di bar handelnya.

Sistem pengurusan penghantaran kuasa enjin juga boleh dilaras mengikut ‘kebolehan’ penunggang. Kebolehan untuk memberikan kuasa ketika motosikal anda dalam keadaan mengiring dalam selekoh tajam, sangat menakjubkan.

Sebagai contoh, mungkin penunggang terlalu ghairah ketika menunggang dalam litar pada kelajuan yang tinggi, terpulas pendikit secara berlebihan ketika dalam selekoh, namun, sistem elektroniknya hanya membenarkan peratusan yang kecil dalam penghantaran kuasa tersebut dan membolehkan cengkaman roda/tayar masih berada pada tahap optimum. Hanya ketika sensornya mengesan bahawa motosikal tersebut sudah ‘menegak’ pada darjah kecerunan yang tertentu, barulah ia membenarkan penghantaran kuasa penuh pada motosikal tersebut.

Tidak dinafikan bahawa sistem breknya adalah antara yang dicemburui oleh kebanyakan pemilik motosikal berjenama lain. Sistem brek jenama Brembo begitu sinonim dengan Ducati ini sehinggakan banyak motosikal dari Jepun telah mula menggunakannya pada model-model popular mereka. Saiz cakera dan kalipernya terlalu panjang untuk saya ulas dalam ruangan yang terhad ini, cukup sekadar pengetahuan ianya dapat beroperasi dengan cemerlang dengan hanya menggunakan satu jari pada tuas breknya untuk membolehkan proses memperlahan/memberhentikan motosikal dengan sempurna.

KESIMPULAN

Agak sukar mengekalkan sesuatu yang telahpun mencapai matlamat. Namun, Ducati menemui formula untuk terus meningkatkan prestasi jentera ini, sama ada dari segi kejuruteraan, elektronik dan reka bentuk.

Jika jentera Ducati 916 pada 90-an dahulu merupakan jentera yang ‘mengalahkan’ motosikal-motosikal sport seangkatannya, Panigale kini pula menjadi kayu pengukur untuk lain-lain pengeluar menghasilkan jentera yang bukan setakat menjadi idaman peminat motosikal jalan raya, malah menjadi idaman pelumba-pelumba profesional.

Apa pun yang berlaku dari segi faktor ekonomi dan kewangan dunia, Ducati Panigale menjadi pilihan utama para peminat sukan motor dunia walau tanda harganya yang begitu tinggi, sama ada untuk pembelian atau penyelenggaraannya, dan pada hari saya mengujinya di Litar Sepang, saya akui keberadaannya dan tunduk mengalah bahawa Ducati Panigale V4s ini, berjaya memuaskan ego dan nafsu seorang pencinta dua roda.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya